Ambil alih lebuh raya untungkan rakyat, GLIC

KUALA LUMPUR: Tawaran pengambilalihan empat konsesi lebuh raya oleh Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) akan menyaksikan lebih banyak manfaat diperoleh rakyat.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Mohammed Rashdan Yusof, berkata selain tiada kenaikan tol sehingga tamat tempoh konsesi menjelang 2032, penjimatan bayaran pampasan bersih kira-kira RM4.3 bilion membolehkan kerajaan menggunakannya untuk melaksanakan projek infrastruktur lain yang memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP akan memperoleh manfaat menerusi kepentingan masing-masing dalam Gamuda serta dalam syarikat konsesi lebuh raya terbabit.

Katanya, selain keuntungan awal daripada penjualan ekuiti, GLIC terbabit akan mendapat manfaat daripada sukuk yang akan diterbitkan ALR bagi membiayai pengambilalihan empat konsesi itu.



“PNB adalah pemegang saham terbesar dalam Gamuda iaitu hampir 18 peratus, kedua terbesar ialah KWSP lebih 10 peratus. Jika digabungkan kesemuanya, GLIC memegang kira-kira 40 hingga 45 peratus kepentingan dalam Gamuda.

“Manfaat kedua yang diperoleh GLIC pula ialah menerusi pegangan bon yang akan dibayar sepenuhnya dengan pengambilalihan oleh ALR,” katanya kepada BH dalam satu temubual, semalam.

Gamuda memiliki kepentingan dalam keempat-empat lebuh raya berkenaan, iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Mohammed Rashdan berkata, GLIC yang terbabit itu juga mempunyai peluang untuk melabur dalam sukuk yang akan diterbitkan ALR, dijangkakan pada akhir Mei atau awal Jun ini.



ALR akan mengambil alih empat syarikat konsesi lebuh raya itu melalui Sukuk Kemampanan atau Sukuk Pelaburan Bertanggungjawab dan Mampan.

“ALR akan menggunakan keuntungan yang dijana daripada kutipan tol sepanjang tempoh konsesi untuk disalurkan sepenuhnya kepada pemegang sukuk,” katanya menjelaskan pemegang saham ALR ‘tidak bermatlamat keuntungan’ dan dengan itu, mereka tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang dividen atau pengeluaran keuntungan daripada ALR.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker