Lagi banyak bilik, lagi banyak untung

Kuala Lumpur: Dari luar, kediaman itu nampak kecil namun mampu memuatkan sehingga puluhan bilik.

Itu taktik digunakan kebanyakan pemilik rumah di sekitar ibu kota yang sanggup mengubah suai rumah demi mengaut keuntungan berlipat ganda.

Lebih tidak masuk akal, bilik berkenaan disewa pada harga ‘cekik darah’ selain turut mengabaikan aspek keselamatan.

Rata-rata penyewa mendakwa lokasi strategik dan berdekatan kemudahan pengangkutan awam menyebabkan mereka tiada pilihan selain akur menyewa di kediaman sempit.



Di Lembah Klang, harga sewa bilik berbeza mengikut kawasan berkepadatan penduduk.

Tinjauan harga sewa bilik utama di satu aplikasi pengiklanan mendapati harga dikenakan antara RM650 sehingga RM900 mengikut kawasan tidak termasuk bil elektrik dan air serta caj penyelenggaraan.

Misalnya di Wangsa Maju, sewa dikenakan bermula RM700 manakala Gombak (bermula RM650), Ampang (bermula RM800) dan Setapak (bermula RM650).

Terikat dengan perjanjian yang lebih memihak kepada tuan rumah, seorang penghuni Kenneth Ruly Anak Andrew berkongsi pengalaman menyewa di sebuah rumah teres tiga tingkat yang mempunyai tujuh bilik.



Menurutnya, kesemua bilik sudah mempunyai penghuni lelaki secara keseluruhan sembilan orang namun pemilik bertindak menambah tiga lagi bilik di bahagian ruang tamu.

Lebih mengejutkan, rumah dikhaskan untuk penyewa lelaki itu turut dihuni penghuni wanita.

Bagaimanapun, katanya, sebagai penyewa dia tidak mempunyai hak bersuara.

“Pemilik kata nak tambah penghadang di ruang tamu tapi saya tengok dalam kontrak tiada pun tulis mengenai tambahan di ruang tamu.

“Jadi saya tanya untuk apa tambahan penghadang itu, pemilik beritahu nak tambah penyewa.

“Saya tidak yakin dengan cara kontraktor dilantik buat penambahbaikan itu kerana tiada pemeriksaan dilakukan. Kerja dilakukan dalam masa seminggu,” katanya kepada wartawan.

Hanya berdindingkan papan lapis sebagai pembahagi ruang, Kenneth mendakwa harga sewa setiap bilik masih mahal meskipun tinggal dalam kediaman melebihi kapasiti.

Menurutnya, walaupun tinggal di perumahan elit tetapi ia sekadar nama disebabkan oleh sikap pemilik yang mahukan keuntungan.

Bukan itu saja, dia juga terpaksa parkir kenderaan jauh dari kediaman serta dinafikan hak menggunakan kemudahan yang ada di kawasan perumahan itu.

Nasib sama turut dikongsi Wan Mohamad Nabil Mohd Zuki yang mendakwa terdapat perbezaan kadar sewaan bilik yang ditawarkan kepada pelajar dan orang awam.

Penuntut universiti awam itu berkata, caj sewa dua kali ganda akan dikenakan tuan rumah sekiranya mengetahui penyewa adalah pelajar.

“Apabila tuan rumah tahu kami penuntut universiti, dia beritahu harga sewa dua kali ganda.

“Jika kami mahukan sewa RM200 hingga RM300 seorang, kena menyewa bersama 10 penyewa lain sama ada cari rakan sendiri atau penyewa dari luar,” katanya yang menyewa di Seksyen 18 Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, tinjauan TV9 mendapati situasi itu seakan pengubahsuaian haram membabitkan rumah flat dan pangsapuri yang pernah tular di media sosial baru-baru ini.

Ia bukan saja berlaku di flat malah turut dikesan berlaku di kondominium, rumah teres dan banglo.

Perbuatan pemilik rumah itu gagal dikesan kerana ia dilakukan tanpa pengetahuan.

Wartawan yang melakukan penyamaran mendapati ubah suai melampau berlaku membabitkan bilik sewa dan semakin menjadi ikutan lebih-lebih lagi yang mempunyai banyak rumah untuk disewa.

Hasil tinjauan rumah sewa juga ibarat memasuki bilik karaoke tanpa ruang tamu, selain tiada pengudaraan baik di dalam rumah.

Ejen rumah yang ditemui mengakui kebanyakan rumah di kawasan berkenaan sudah diubahsuai dengan menambah bilik tanpa pengetahuan pihak berkuasa tempatan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker