Malaysia julang Piala Merlion 2023

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara menjulang Piala Merlion buat kali pertama selepas menewaskan skuad B-22 Hong Kong 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura, sebentar tadi.

Kemenangan ini pasti memberi tonik tambahan buat anak buah E Elavarasan menjelang temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di Kemboja, Mei ini.

Apapun, kesilapan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dalam dua perlawanan berturut-turut di kempen Piala Merlion ini sehingga membenarkan lawan mendapat gol seharusnya diberikan perhatian oleh barisan kejurulatihan skuad B-22.

Pada aksi terbabit, palang gol Hong Kong bergegar pada minit ke-11 menerusi rembatan deras Adam Farhan Mohd Faizal sebelum jaringan Haqimi Azim Rosli pada minit ke-20 dibatalkan kerana ofsaid.



Haqimi sekali lagi dikecewakan pada minit ke-58 selepas jaringannya menerima nasib yang sama seperti babak pertama apabila dibatalkan kerana ofsaid.

Percaturan Elavarasan memasukkan Najmudin Akmal Kamal Akmal membuahkan hasil apabila pemain gantian itu meledak gol pembukaan pada minit ke-74.

Gol pertama itu tampak ‘memudahkan’ kerja Malaysia yang menyaksikan gol kedua skuad hadir empat minit berselang hasil percubaan jauh Safwan Mazlan menewaskan Ng Wai Him.

Bagaimanapun, Rahadiazlim yang membuat kesilapan sehingga dibolosi ketika berdepan Kemboja sekali lagi ‘membelanja’ pasukan lawan, kali ini tendangannya tidak mengena sehingga membolehkan Lau Ka Kiu mengurangkan defisit seminit berselang.



Perlawanan bertukar panas di penghujung permainan apabila menyaksikan berlakunya sedikit ketegangan antara kedua-dua pasukan dan insiden itu menyaksikan Haqimi dan Kong Maddox dilayangkan kad merah.

Sementara itu bagi aksi aksi sebelah petang yang dilewatkan susulan cuaca buruk, Kemboja menewaskan tuan rumah, Singapura dengan keputusan 2-1 sekali gus merangkul tempat ketiga.

Kemboja mendahului 2-0 menerusi Vouen Va (minit ke-12) dan Ky Rina (minit ke-31) sebelum Singapura mengurangkan defisit hasil jaringan Jordan Imaviwe (minit ke-74).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker