Trend kemerosotan ringgit berterusan

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan dibuka rendah pada Jumaat berikutan permintaan terhadap dolar terus melonjak susulan bacaan positif ekonomi AS, kata penganalisis. .

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.4795/4820 berbanding dolar AS daripada 4.4720/4750 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata dolar AS mengukuh selepas pengumuman mengenai data Tuntutan Pengangguran Awal AS yang lebih baik berbanding jangkaan.



Beliau berkata, data itu menunjukkan bilangan orang yang memohon faedah pengangguran berkurangan kepada 250,000 daripada jangkaan sebanyak 265,000.

“Walaupun aliran data positif baru-baru ini memberi gambaran positif mengenai ekonomi AS namun minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang dikeluarkan semalam seolah-olah menunjukkan bank pusat AS itu masih tidak bercadang untuk memperlahankan kadar kenaikan kadar faedah.

“Hal ini menjelaskan kemungkinan berlaku kenaikan seterusnya nilai dolar AS berbanding mata wang lain dan berbanding ringgit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pasangan dolar AS/ringgit boleh mencecah paras 4.5000.



“Bagaimanapun, jika harga berhasil menembusi paras di bawah 4.4550, pasangan mata wang ini boleh turun kepada 4.4000 dalam masa beberapa hari,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan tinggi berbanding beberapa mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2299/2321 daripada 3.2371/2397 ketika ditutup pada Khamis, dan meningkat berbanding euro kepada 4.5153/5179 daripada 4.5471/5502.

Ringgit lebih kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2877/3298 daripada 3.3077/3102 semalam, dan stabil berbanding pound British kepada 5.3351/3381 daripada 5.3959/3995 pada Khamis.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button