Ronaldo penting buat Portugal

Luxembourg: Cristiano Ronaldo kekal sebagai pemain penting buat Portugal, kata pengendalinya, Roberto Martinez selepas penyerang veteran itu meledak dua gol buat kali kedua berturut-turut dalam kempen kelayakan Euro 2024 menentang Luxembourg.

Pemain 38 tahun itu membuka jaringan untuk juara Euro 2016 dengan menyempurnakan tandukan Nuno Mendes dan menambah jaringan pada minit ke-31 dalam kemenangan 6-0 itu, awal pagi ini.

Ronaldo yang meledak dua kali ketika menentang Lichtenstein pada Khamis lalu kini melebarkan rekodnya kepada 198 penampilan dan 122 gol antarabangsa.

“Cristiano adalah pemain unik di dalam dunia dengan jumlah kap antarabangsa tertinggi,” kata Martinez yang kembali membariskan Ronaldo dalam kesebelasan utama selepas digugurkan di Piala Dunia Qatar 2022.

“Pengalamannya cukup penting di dalam bilik persalinan. Semua pemain memainkan peranan penting, kesungguhan pemain muda serta pengalaman dibawa pemain seperti Cristiano Ronaldo, Rui Patricio dan Bernardo Silva.

“Sangat penting untuk memiliki pasukan yang lengkap di bilik persalinan.”

Martinez menyertai Portugal selepas Piaal Dunia bagi menggantikan Fernando Santos yang membimbing pasukan sejak 2014.

Pengendali dari Sepanyol itu menikmati permulaan sempurna apabila anak buahnya kini memiliki kelebihan dua mata di tangga teratas Kumpulan G apabila menjaringkan 10 gol tanpa bolos.

Joao Felix, Bernardo Silva, Otavio dan Rafael Leao turut menjaringkan gol ketika kemenangan selesa di Luxembourg.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker