SPRM beri jaminan siasatan kes rasuah secara telus – Azam


Datuk Seri Azam Baki

04/02/2021 11:35 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan setiap siasatan terhadap kes rasuah dilakukan tanpa sebarang keraguan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata setiap tindakan dilakukan agensi itu adalah jelas dan tidak berkompromi selain meminta semua pihak bersabar agar siasatan dapat dilakukan secara terperinci untuk hasil yang lebih baik.



Beliau juga meminta semua pihak tidak memberikan persepsi negatif terhadap kes yang sedang disiasat selain memberi ruang dan masa kepada SPRM terutama ketika negara sedang menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19.

“(Misalnya) Kes keputusan mahkamah semalam merupakan proses yang terpaksa dilalui (selain) menghadapi cakap-cakap negatif orang ramai yang menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM.

“Seolah-olah SPRM tidak menjalankan tugasnya tapi kami memohon supaya semua pihak bersabar sebab (terdapat) kekangan yang kami hadapi (semasa menjalankan siasatan),” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV hari ini.

Azam berkata tiada sesiapa yang boleh menyekat setiap tindakan SPRM dan hanya masa yang ‘sedikit menjejaskan’ mereka dalam menentukan cepat atau lambat sesuatu siasatan dijalankan.



“Tapi yang saya mohon ialah kesabaran dan saya beri jaminan bahawa tindakan kami akan sentiasa berterusan sepertimana sebelum ini,” katanya.

Semalam, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Sementara, seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang merupakan bekas pengerusi Mara Inc ditahan SPRM semalam dan akan didakwa esok atas 22 pertuduhan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM33.45 juta daripada pembelian kontroversi hartanah di Melbourne, Australia.

SPRM belum buka kertas siasatan berkaitan 101 projek rundingan terus – Azam

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker