Mahkamah Kuwait jatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Jho Low

KUALA LUMPUR: Sebuah mahkamah di Kuwait mensabit kesalahan terhadap ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, tanpa kehadirannya semalam atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik laporan akhbar Kuwait Al-Qabas, seorang sheikh dengan rakan kongsinya termasuk dua lagi warga asing dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun.

Manakala seorang peguam dihukum penjara tujuh tahun atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Malaysia.

Justeru, mereka diperintahkan untuk memulangkan AS$1 bilion (RM4.4bilion) selain perlu membayar denda berjumlah KD145 juta (RM2 bilion).

Bagaimanapun, akhbar berkenaan tidak mendedahkan nama sheikh terbabit termasuk rakan kongsi mahupun peguam berkenaan.

Namun hanya menyebutnya sebagai ‘dana Malaysia’.

Laporan itu menyebut, ia berkait kes pengubahan wang haram terbesar selain mengenal pasti identiti wang asing itu sebagai Low dan ahli perniagaan Syria-Perancis bernama Bachar Kiwan.

Berdasarkan laporan diterbitkan menerusi portal Sarawak Report mendakwa, dana Malaysia itu merujuk kepada 1MDB.

Selain itu, portal sama mendakwa sheikh yang disebut-sebut itu adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah.

Manakala rakan kongsi yang dikaitkan didakwa sebagai sekutu Low iaitu Hamad Al Wazan dan peguamnya, Saud Abdelmohsan.

Laporan Al-Qabar melaporkan kelima-lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk matawang China bersamaan KD343,700,000 (RM4.95 bilion).

Dakwa agensi berita itu, lima individu berkenaan tahu bahawa wang berkenaan adalah hasil haram yang diseleweng daripada dana pelaburan Malaysia.

Akhbar itu melaporkan bahawa kes berkenaan ditangguh selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihaknya pendakwaan berdepan halangan untuk memperoleh maklumat dari luar negara.

Namun begitu, laporan sama tidak memperincikan mengenai bentuk kesukaran yang dihadapi atau siapa ada kaitan tetapi menurut Sarawak Report mendakwa kerajaan Malaysia kurang memberikan kerjasama.

“Sarawak Report dimaklumkan bahawa Kuwait tidak menerima kerjasama yang berguna daripada kerajaan Malaysia sepanjang tempoh ini, dalam usaha mengembalikan berbilion-bilion (wang) negara yang dicuri.

“Sarawak Report hanya boleh merumuskan kegagalan Malaysia untuk bertindak berpunca secara langsung hasrat (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) dan sekutu Barisan Nasional (BN) yang menyokong kerajaan (bekas Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) untuk menutup bukti lebih lanjut berkait rasuah oleh Najib.

“Kekurangan kerjasama ini nampaknya berterusan sehingga hari ini, sehingga menyebabkan pihak berkuasa Kuwait meneruskan kes itu tanpa kerjasama daripada Malaysia dan sememangnya tanpa Malaysia membuat tuntutan sewajarnya terhadap wang berkenaan.

“Sememangnya, laporan media Kuwait hari ini (semalam) menjelaskan bahawa perkara ini berlaku sehingga membawa kegusaran kepada pihak berkuasa Kuwait mengenai kegagalan menerima maklumat daripada pihak antarabangsa (yang merujuk kurang kerjasama dari Malaysia),” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker