Orang terawih mereka merempit

KUALA LUMPUR: Polis Daerah Gombak menahan 78 penunggang dan pembonceng motosikal yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menduga kelajuan (berlumba) di Bandar Tasik Puteri, semalam.

Sebahagian besar yang ditahan dalam operasi secara besar-besaran yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, itu terdiri daripada pelajar sekolah menengah berusia seawal 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan mendapati kegiatan menduga kelajuan atau berlumba itu dilakukan hampir setiap malam sejak 1 Ramadan lalu.

“Kegiatan remaja bermotosikal ini menyebabkan gangguan ketenteraman awam kepada penduduk di kawasan berkenaan termasuk mereka yang menggunakan laluan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati remaja-remaja bermotosikal ini menggunakan motosikal milik ahli keluarga mereka bagi menduga kelajuan di Persiaran Tan Sri Low Yow Chuan di Bandar Tasik Puteri.

“Kebanyakan mereka akan berkumpul, memanas enjin motosikal di pinggir jalan sebelum memulakan aktiviti menduga kelajuan secara berkumpulan antara lima hingga 10 motosikal secara bergilir-gilir,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Zainal berkata operasi yang bermula jam 9 malam diketuai Inspektor Shahidan Ab Wahab, Inspektor Zharif Zakaria dan Inspektor Suharman Che Musa bersama 32 anggota dari IPD Gombak, Balai Polis Rawang dan Balai Polis Kundang, membawa kepada rampasan 56 buah motosikal.

“Semasa operasi ada antara remaja yang menunggang bertindak agresif untuk lari mengelakkan diri dari ditahan termasuk hampir melanggar anggota polis selain bertindak melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka di lokasi,” katanya.

Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kesalahan yang dilakukan adalah menduga kelajuan, tidak mempunyai lesen memandu serta tidak memakai topi keledar.

Ada antara motosikal yang ditahan tidak memiliki cukai jalan, tidak mempunyai nombor pendaftaran di hadapan dan belakang.

Semua yang ditahan kemudian dibawa ke IPD Gombak dengan menggunakan trak polis.

Sebanyak 102 kompaun dikeluarkan terhadap penunggang dan pembonceng motosikal manakala 40 buah motosikal digital mengikut Seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis Gombak juga akan memanggil pemilik motosikal berkenaan untuk disiasat dan dikenakan saman.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker