Once ceburi bidang politik

 

Oleh Razak Hasan

Once ceburi bidang politik
Once tampil bersama Marcell dan Bams Samsons menerusi Konsert Trio Terhebat Vol 1 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 4 Mei depan

Bukan suatu luar biasa apabila golongan artis terbabit dalam dunia politik di Indonesia.

Ramai artis terkenal yang rata-ratanya penyanyi seperti Pasha Ungu, Giring, Ahmad Dhani, Kris Dayanti dan banyak lagi membina nama sebagai ahli politik.

Justeru, nama seperti Once Mekel juga tidak terkecuali apabila turut bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum atau lebih dikenali rakyat tempatan sebagai Pemilu Indonesia yang berlangsung Februari lalu.

Menyertai Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), bekas vokalis Dewa 19 itu bertanding di kawasan Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II meliputi Jakarta Selatan dan Jakarta Pusat.

Bagaimanapun, Once menidakkan dirinya mempergunakan popularitinya sebagai penyanyi untuk bergelar ahli politik.

Bagi Once, pengaruh yang dimiliki sebagai anak seni sejak tiga dekad adalah hanya satu kelebihan dimiliki bagi menarik pengundi.

“Bukan saya sahaja anak seni yang aktif berpolitik atau pernah duduk di dalam Parlimen. Ini kerana kami juga ada visi dan misi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Indonesia.

“Sebagai penyanyi dan pemuzik, fokus saya turut meliputi karyawan seni dalam pelbagai bidang, termasuk kru belakang tabir serta profesion sokongan lain.

“Suara saya akan mewakili semua lapisan masyarakat yang pastinya dambaan kualiti terbaik dalam aspek kehidupan, ekonomi dan sosial,” katanya ketika ditemui BH Online ketika lawatannya ke Kuala Lumpur bersempena rangka promosi konsert.

Once mempromosikan konsert sulung yang turut menampilkan Marcell dan Bams Samsons menerusi Konsert Trio Terhebat Vol 1 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 4 Mei depan.

Katanya, dia juga berkongsi debaran menantikan pengumuman Pemilu yang dijadualkan pada 20 Mac ini.

Namun, pemegang ijazah undang-undang itu berkata, tidak kira kalah atau menang, dia tidak akan berputus asa memperjuangkan nasib rakyat Indonesia.

Once berkata, dia mahu mendahulukan kepentingan masyarakat berbanding kepuasan peribadi.

“Nyanyian dan muzik sudah menjadi darah daging, tetapi andai diberi mandat saya akan bekerja untuk semua anggota masyarakat seperti yang sudah dijanjikan.

“Urusan persembahan juga seiring, mungkin sambil bertemu dan melaksanakan kerja, saya dapat berkongsi kecintaan muzik dengan mereka,” katanya.

Selain itu, Once juga tenang menjawab persoalan teman media mengenai dunia politik yang kejam dan kotor, termasuk korupsi.

Once berkata, setiap individu pasti berdepan ujian tidak kira dalam bidang politik ataupun lain.

“Semuanya berbalik kepada diri sendiri. Jika kita buka peluang, anasir jahat akan mudah bersarang. Saya punya prinsip,” kata penyanyi kelahiran Makassar itu.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu tetap dengan pendirian untuk memperjuangkan hak rakan artis, industri seni dan kreatif.

Katanya, dia akan terus terbabit dalam bidang muzik walaupun bergelar ahli politik kerana dua bidang ini minatnya terutama bagi memperjuangkan isu berkaitan artis mengenai hak cipta serta undang-undang.

“Sebagai anak seni yang juga sudah lama terbabit dalam karier ini, banyak perlu diperjuang terutama dari segi hak cipta dan undang-undang untuk terus membangunkan industri kreatif Indonesia.

“Jika ada rezeki berjaya dalam pilihan raya itu, saya mahu perjuangkan hak artis membangunkan industri kreatif di tanah air saya. Dulu saya belajar undang-undang dan ada ijazah dari Universiti Indonesia,” katanya.

Once menafikan mempergunakan popularitinya sebagai penyanyi untuk bergelar ahli politik. - Foto IG Once Mekel
Once menafikan mempergunakan popularitinya sebagai penyanyi untuk bergelar ahli politik. – Foto IG Once Mekel

Sementara itu, berkongsi mengenai barisan lagu yang bakal dibawakan di Konsert Trio Terhebat Vol 1, Once berkata, akan membawa lagu popular daripada album solo miliknya.

Once tidak berniat untuk membawakan lagu-lagu popular yang pernah membuat dirinya meningkat naik bersama Dewa 19.

“Saya tidak akan membawakan lagu Dewa 19 pada Trio Terhebat Vol 1. Keputusan ini adalah keputusan peribadi.

“Ia juga selepas permintaan daripada Ahmad Dhani untuk saya tidak mendendangkan lagu Dewa 19 meski secara tertulis kontrak, jadi patuh dengan arahan,” katanya.

Justeru Once, 53, mengumumkan beberapa judul lagu yang akan disampaikan pada malam konsert yang dibawa oleh Icon Entertainment tersebut.

“Antaranya lagu yang saya akan bawakan adalah lagu yang paling banyak diminta oleh peminat Indonesia dan Malaysia seperti Dealova, Simfoni Indah, Kucinta Kau Apa Adanya, Matilah Kau dan lagu-lagu dari album sendiri,” katanya.

Meski demikian Once akur sekiranya ramai peminat mahu dia membawakan lagu hit dari Dewa 19.

“Saya tidak ada keberatan menyanyi lagu Dewa 19, tapi kena tanya kepada penganjur,” katanya.

Terdahulu, perselisihan bermula dari Once yang disebut Ahmad Dhani sering membawakan lagu Dewa 19 tetapi tidak pernah meminta izin dan tidak pernah membayar royalti.

Perselisihan Ahmad Dhani dan Once menjadi perbahasan banyak pihak, termasuk di kalangan pemuzik dan penyanyi.

Ahmad Dhani berdalih, Once sejak keluar dari Dewa 19 sering membawakan lagu Dewa 19 tetapi tak membayar royalti dan seumpamanya.

Sementara itu, Once berdalih membayar royalti dan seumpamanya bukanlah kewajipan penyanyi melainkan penyelenggara acara atau pengurus acara.

Meski demikian, perselisihan ini sudah selesai dengan Once berjanji tak akan lagi membawakan lagu-lagu Dewa 19 dalam penampilan solonya.

Once atau nama sebenarnya, Elfonda Mekel ini bergerak solo selepas meninggalkan Dewa 19 pada 2011.

Lebih tiga dekad aktif muzik, Once mempunyai seorang anak lelaki Manuel Mekel, 17, yang turut minat bermain muzik seperti gitar, keyboard, piano dan dram. –  Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker