Sepanyol tumbang di tangan Scotland

Glasgow: Scott McTominay menjaringkan dua gol ketika Scotland mengejutkan Sepanyol 2-0 di Hampden Park, awal pagi tadi untuk meneruskan permulaan sempurna di kempen kelayakan Euro 2024.

McTominay masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol menentang Cyprus pada hujung minggu lalu dan pemain tengah Manchester United itu meledak gol pada awal kedua-dua babak bagi memastikan kemenangan paling bermakna Scotland sejak menewaskan Perancis pada 2007.

“Pengurus berkata ini adalah peluang kami untuk mencipta legasi sebagai pemain Scotland dan kejayaan ini akan diingati oleh orang ramai selama 20 atau 30 tahun lagi,” kata McTominay.

Anak buah Steve Clarke berada di landasan tepat untuk layak ke Kejohanan Eropah kali kedua berturut-turut selepas menduduki tempat teratas Kumpulan A dengan mengumpul mata maksimum daripada dua perlawanan pembukaan mereka.

Sebaliknya, persoalan timbul mengenai keputusan bos Sepanyol, Luis de la Fuente melakukan lapan pertukaran daripada pasukan yang menewaskan Norway 3-0 dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus sebelum ini.

Ia termasuk keseluruhan barisan pertahanan yang baharu dan pelawat ketinggalan seawal minit ke-7.

McTominay hanya menjaringkan satu gol antarabangsa dalam 37 penampilan sebelum bertemu Cyprus namun kini sudah meledak empat gol dalam tempoh empat hari.

Dia menjaringkan gol kedua pada minit ke-51 dan meskipun rombakan besar dilakukan oleh De la Fuente, Sepanyol masih tumpul di jentera serangan.

Scotland bagaimanapun tidak menghiraukan status gah Sepanyol, sebaliknya meraikan kejayaan bermakna itu di Hampden.

“Kami sedar mereka banyak menguasai bola dan pengurus berkata manfaat peluang sebaik-baiknya apabila memperoleh peluang.

“Lihatlah suasana hari ini. Saya tidak pernah melihat situasi semeriah ini sebelum ini, kata McTominay.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker