Datuk AC Mizal yang bukan calang-calang – Chacha

Diam tak diam, pelakon, Siti Aisyah Rohani Ismail atau lebih dikenali sebagai Chacha Maembong sudah menginjak usia 27 tahun.

Seiring peredaran masa, Chacha yang bermula dalam industri hiburan pada usia 16 tahun dilihat mempunyai misi dan visi yang jelas dalam hidupnya.

Selain lakonan, Chacha kini mengorak langkah lebih serius dalam bidang perniagaan sebagai cabang menambah pendapatannya.



“Saya baru habis berlakon drama Special Force: Anarchy yang sudah pun selesai tayangannya menerusi penstriman Disney+ Hotstar.

“Sekarang saya terbabit dengan telefilem 30 Hari Sebelum Raya. Saya masih berlakon dan terima tawaran macam biasa. Tapi, berbanding dulu, saya kini hadkan lakonan tidak lagi ‘back to back’, habis drama ini buat yang lain pula,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil langkah menjarakkan lakonan kerana mahu fokus pada bidang perniagaan makanan.

“Apabila perniagaan saya dah stabil, baru saya kembali berlakon ‘back to back’. Mungkin orang tak tahu, saya bukan saja berlakon, tapi dah lama berniaga. Cuma saya lebih senang bekerja di belakang tabir. Sememangnya saya suka berniaga kerana dikelilingi keluarga berniaga.



“Bukan saya tak yakin dengan kerjaya pelakon. Tapi, nak tak nak kena terima hakikat karier artis belum tentu boleh dapat miliki apa yang saya nakkan,” katanya.

Chacha berkata, artis makin ramai muncul, sekali gus menjadikan persaingan semakin sengit.

“Kadang-kadang orang dah bosan tengok muka kita. Cuba kalau dah kahwin dan ada anak, belum tentu orang nak ambil kita lagi. Kita selalu kena rancang apa langkah seterusnya nak dibuat.



“Kita takkan tahu apa akan berlaku. Jadi, sentiasa kena ada ‘back up’ untuk teruskan kehidupan. Saya tolak anggapan kata saya dah kaya.

“Pada saya kedudukan kewangan saya belum mencukupi. Saya bukan fikir sekarang, tapi lima tahun selepas ini. Kita takkan tahu bila ada Covid-19 semula. Jadi, kena bertindak dari sekarang,” katanya

Dalam perkembangan lain, Chacha kini melebarkan sayap dalam pengacaraan pula apabila menjadi hos program Suke Tune bergandingan dengan Syrul Ezwan.

“Program ini bersiaran secara langsung setiap Isnin jam 9 hingga 10 malam. Ia menampilkan lagu viral dari penulis lirik, komposer baharu serta artis baharu dan lama.



“Ini pengalaman pertama saya jadi hos. Memang tak yakin mulanya dan mula-mula saya menggigil. Namun, bila fikir ia kesempatan terbaik, saya beranikan diri terima.

“Lagipun siapa yang tak nak bekerja dengan Datuk AC Mizal yang bukan calang-calang orangnya dalam bidang ini. Saya beruntung dapat berguru dengannya,” katanya.

Dia juga bersyukur kerana Datuk AC dan isterinya, Datin Emylia banyak memberi tunjuk ajar ketika program berlangsung.

“Mereka nasihatkan jangan kekok masa buat ‘live’ dan jadi diri sendiri. Alhamdulillah…episod pertama berjalan lancar. Episod kedua pun saya dah makin selesa.



“Keserasian saya dengan Syrul Ezwan pun semakin baik. Mungkin saya akan terus buat pengacaraan, tapi dalam masa sama masih kekal sebagai pelakon,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button