Notis merah terhadap Jho Low belum ditarik balik

Putrajaya: Usaha kerajaan untuk mengesan perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah berhenti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan juga belum menarik Notis Merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap ahli perniagaan itu.

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas mengenai dakwaan mengatakan kerajaan Malaysia tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan Kuwait, iaitu negara terbaharu yang mensabitkan Jho Low dengan kesalahan penggubahan wang berhubung syarikat itu.

“Saya tidak mempunyai maklumat penuh berhubung dakwaan berkenaan,” katanya pada sesi Dialog Menteri Dalam Negeri bersama Media, di Kementerian Dalam Negeri, semalam.

Sebuah mahkamah di Kuwait mensabit kesalahan terhadap Jho Low, tanpa kehadirannya semalam atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1MDB.

Memetik laporan akhbar Kuwait Al-Qabas, seorang sheikh dengan rakan kongsinya termasuk dua lagi warga asing dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun.

Sementara seorang peguam dihukum penjara tujuh tahun atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kerajaan mengambil maklum perkembangan perbicaraan dua suspek militan rakyat Malaysia yang kini ditahan di Guantanamo, Cuba.

Katanya, beliau sudah mendapatkan makluman terkini berkenaan perkembangan itu daripada Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Katanya, kerajaan akan bersedia dengan perancangan yang sepatutnya jika kedua-dua individu terbabit dipindahkan kembali ke Malaysia.

“Memandangkan perkara itu belum berlaku (dipindahkan ke Malaysia), tapi jika berlaku, baru kita aktifkan pelan itu,” katanya.

Dua rakyat Malaysia terbabit iaitu Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin berhadapan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker