JPNP tutup semua tapak perkhemahan berhampiran lokasi berisiko

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi termasuk lereng bukit serta air terjun berkuat kuasa serta-merta sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

JPNP menerusi kenyataan di akaun Facebook rasminya, memaklumkan keputusan itu dibuat susulan ramalan hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang Monsun Timur Laut selain mengambil iktibar kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada awal pagi semalam.

“Penutupan ini membabitkan semua tapak perkhemahan yang diuruskan JPNP dan operator swasta seperti di Taman Eko-Rimba Lubuk Yu, Maran dan Taman Eko-Rimba Parit Falls, Cameron Highlands.

“Sepanjang musim tengkujuh ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” menurut kenyataan itu.



Semalam, media melaporkan 21 mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm di Batang Kali disahkan meninggal dunia setakat malam tadi manakala 12 lagi mangsa masih belum ditemukan.

Insiden sekitar jam 2.42 pagi itu, membabitkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dilakukan sejak awal pagi semalam, membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker