Keputusan permohonan semakan kes SRC Najib pagi ini

DATUK Seri Najib Razak. FOTO arkib MYTVONLINE

Putrajaya: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Persekutuan di sini, untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib disambut puluhan penyokong yang berkumpulan di hadapan Istana Kehakiman sejak jam 8.15 pagi.

Beliau yang menaiki kenderaan Jabatan Penjara Malaysia itu tiba pada jam 8.40 pagi.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada Najib mendapat kebenaran semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.



Permohonan Najib itu akan diputuskan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang mula mendengar permohonan kebenaran bagi semakan sejak 19 Januari lalu.

Dalam permohonan kebenaran semakan berkenaan, Najib mahukan Mahkamah Persekutuan supaya menyemak keputusan panel lima hakim pada 23 Ogos tahun lalu, dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan beliau dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Secara alternatif, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.



Dalam afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button