Polis KL gempur Pasar Pudu

Oleh – Syeikh Baran


Polis KL gempur Pasar Pudu
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam Op Noda di Jalan Pasar Baharu Pudu malam ini. – Foto BERNAMA

Seramai 263 individu ditahan dalam Op Noda dan Op Limau di Jalan Pasar Pudu, di sini, malam ini.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis ke atas sebuah bangunan hotel terbiar yang dikesan menjalankan aktiviti pelacuran dan didiami pendatang asing tanpa izin (PATI) itu bermula jam 6 petang tadi.
 
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata ketika serbuan pihaknya mengepung seluruh kawasan bangunan berkenaan bagi mengelakkan ada pihak yang melarikan diri.
 

“Ketika serbuan, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30-an bertindak nekad dengan terjun dari tingkat satu untuk melarikan diri, namun cubaannya gagal apabila dia ditahan anggota polis yang berada di lokasi.

“Lelaki itu bernasib baik apabila dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis menahan seramai 229 lelaki dan 34 wanita terdiri warga tempatan dan warga asing dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Myanmar, Indonesia, India, Vietnam, China dan Thailand,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Polis KL gempur Pasar Pudu
Antara warga asing yang ditahan polis dalam Op Noda di Jalan Pasar Baharu Pudu malam ini. – Foto BERNAMA

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Habibi Manjiji.

Allaudeen berkata, seramai 20 daripada 34 wanita yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran.

“Kebanyakan lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan ini adalah pelanggan kepada pelacur yang tinggal di hotel ini.

“Bagi lelaki warga asing pula, sebahagian mereka (yang ditahan) adalah penghuni, manakala selebihnya pelanggan (pelacur),” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas 14 kanak-kanak yang berkemungkinan mendiami bangunan itu.

Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut, termasuk melakukan ujian saringan air kencing untuk memastikan sama ada mereka terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti pelacuran dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi yang positif dadah,” katanya.

Katanya, keadaan hotel itu yang terbiar menyebabkannya dijadikan sebagai lokasi aktiviti pelacuran selain didiami warga asing.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker