‘Apa-apa persoalan tanya Aida’ – Sam Bunkface
SHAH ALAM: Vokalis kumpulan Bunkface, Sam enggan mengulas lanjut berhubung sesi perbicaraan pindaan nafkah anaknya, Maleeq bersama bekas isteri, Aida Azira Hussin yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, hari ini.
Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Anuar Baharom, 35, berkata dia tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan disebabkan kes pindaan nafkah anak masih dibicarakan.
“Sebenarnya, hari ini tidak boleh beri sebarang komen sebab kenyataan diberikan sebelum ini meliputi semuanya termasuk kes nafkah. Sekarang kes nafkah berjalan dengan baik.
“Segala info sudah diberikan sebelum ini. Kalau ada apa-apa (persoalan) tanya Aida,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di luar Dewan Bicara selepas perbicaraan selesai
Terdahulu, Sam hadir ke mahkamah dengan ditemani oleh isteri baharunya, Puteri Eifa Ezrin Mohd Kushairi.
Sementara itu, Aida menolak memberi sebarang kenyataan sebelum bergegas keluar dari pekarangan mahkamah.
Rakan yang menemani Aida memaklumkan, penerbit rancangan itu akan memberi kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan dalam tempoh terdekat.
Semalam, Sam menerusi satu hantaran dalam Instagram (IG) membidas tuduhan dikeluarkan Aida mengenai pengabaian tanggungjawab sebagai bapa terhadap Maleeq, selain mendakwa tidak pernah culas memberi nafkah walaupun sebulan.
Malah, Sam mendakwa, semua bukti mengenai ketidakmampuan membayar nafkah berjumlah RM1,300 yang disifatkan terlalu tinggi sudah dibentangkan di mahkamah dan Aida sendiri sudah maklum mengenainya.
Sam mendakwa, dia tidak berjumpa Maleeq dalam tempoh yang agak lama disebabkan Aida mengambil keputusan membawanya ke Melaka tanpa persetujuannya.
Pada 29 Mac lalu, Sam dan Aida hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor bagi sebutan kes pindaan nafkah anak.
Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida pada 25 April 2015, namun bercerai pada penghujung Januari 2019.
BHOnline