Bezzecchi raih kemenangan sulung MotoGP

TERMAS DE RIO HONDO, Argentina: Marco Bezzecchi meraih kemenangan MotoGP sulungnya di Grand Prix Argentina, serta memberikan kemenangan pertama buat pasukan Ducati yang dimiliki legenda dan juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi.

Penunggang Itali itu mengatasi Johann Zarco, dengan Alex Marquez, yang bermula di petak utama, melengkapkan podium yang dikuasai Ducati.

“Biasanya saya tidak begitu bagus ketika hujan, tetapi hari ini sensasinya berlainan,” kata Bezzecchi.



Bezzecchi, 24, turut mengumpul kelebihan sembilan mata di tangga teratas kedudukan keseluruhan selepas juara dunia, Francesco Bagnaia, pemenang perlumbaan hujung minggu lalu di Portugal, terbabas di pusingan ke-17.

Dia berada di kedudukan kedua ketika itu dan terpaksa mengejar untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 yang tidak memberikan sebarang mata.

Bezzecchi bermula di petak kedua tetapi memintas Marquez pada pusingan pertama dan mengekalkan rentak untuk memenangi perlumbaan dengan kelebihan 4.085 saat.

Perlumbaan Moto2 dimenangi oleh Tony Arbolino dengan Alonso Lopez dan Jake Dixon melengkapkan podium.



Moto3 dimenangi oleh pelumba Jepun, Tatsuki Suzuki, diikuti oleh Diogo Moreira dan Andrea Migno.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button