Bintang EPL tiada masalah berpuasa
Hari ini genap 11 hari umat Islam di Malaysia dan kebanyakan negara di seluruh dunia berpuasa pada Ramadan, bulan yang amat dinanti-nantikan kerana penuh dengan keberkatan yang melimpah ruah.
Tidak terkecuali bagi pemain bola sepak profesional beragama Islam terutama di liga utama Eropah termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menjalani ibadah puasa di samping melaksanakan tugas hakiki mereka sebagai pemain profesional.
Menurut Nujum Sports, ada 253 pemain beragama Islam dalam pasukan utama dan akademi di empat divisyen utama bola sepak Inggeris.
Pemain tengah Everton, Abdoulaye Doucoure memberitahu BBC Sport, dia amat menanti-nantikan Ramadan dan mampu menjalani ibadah puasa tanpa menjejaskan tahap fizikalnya.
Doucoure, yang dilahirkan di Perancis dengan ibu bapa berasal dari Mali, yakin kepercayaannya terhadap Islam berjaya membantunya dalam menangani banyak halangan sepanjang kariernya.
Dia turut memuji pemain bintang Liverpool, Mohamed Salah sebagai ‘contoh terbaik’ seorang pemain bola sepak Muslim.
Doucoure dan rakan sepasukan seagamanya di Everton – Idrissa Gueye, Amadou Onana dan Asmir Begovic-masing-masing mempunyai menu makanan tersendiri ketika Ramadan, yang disediakan oleh pakar pemakanan kelab Lloyd Parker.
Hidangan biasa mereka ketika bersahur termasuk bubur, telur atau roti bakar dengan jem dan jus buah,manakala hidangan berbuka puasa setiap malam terdiri daripada sup sayur, pasta atau hidangan nasi danpencuci mulut seperti epal crumble atau jem roly-poly.
Pemain beragama Islam dalam EPL berpegang teguh terhadap kepercayaan mereka dalam dan di luar padang.
Trio Everton – Doucoure, Gueye dan Onana – sering kali dilihat bersolat di bilik persalinan di Goodison Park selain mengunjungi masjid untuk menunaikan solat Jumaat saban minggu.
Dihormati rakan sepasukan Dedikasi pemain terhadap amalan agama mereka bukan sahaja mendekatkan mereka sebagai rakan sepasukan tetapi juga dihormati kelab dan rakan sepermainan mereka.
Sky Sports News secara eksklusif mendedahkan pegawai perlawanan diminta untuk membenarkan pemain berbuka puasa ketika perlawanan yang dilangsungkan pada waktu malam sepanjang Ramadan.
Badan pengadil mengeluarkan panduan terhadap pengadil untuk membenarkan permainan dihentikan seketika bagi membolehkan pemain berbuka puasa dengan mengambil cecair, gel tenaga atau makanan tambahan.
Dua tahun lalu, perlawanan Leicester City menentang Crystal Palace dihentikan sementara pada pertengahan permainan, membolehkan Wesley Fofana dan Cheikhou Kouyate berbuka puasa dalam apa yang dipercayai sebagai kali pertama berlaku dalam EPL.
Pemain seperti Salah, Riyad Mahrez dari Manchester City dan N’Golo Kante dari Chelsea antara nama terkenal, yang menjalani ibadah puasa pada bulan suci itu.
Selain Salah, Doucoure, Mahrez dan Fofana, pemain beragama Islam terkenal termasuk penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou yang beraksi dengan kelab La Liga Sepanyol, Sevilla, Sadio Mane (Bayern Munich), Antonio Rudiger (Real Madrid), Noussair Mazraoui (Bayern Munich), Sofyan Amrabat (Fiorentina) dan Ousmane Dembele (Barcelona).
BHOnline