‘Saya bersyukur sempat pakaikan baju raya untuknya’-Firdaus Ismail

Kluang: “Jujurnya memang sedih sampai hari ini kerana teringatkannya namun Allah lebih menyayangi Daffrel dan saya bersyukur sempat pakaikan baju raya untuknya.”

Begitu kata Muhamad Firdaus Ismail, 38, bapa kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) terlantar, Muhammad Daffrel, dua tahun empat bulan yang dijemput Ilahi pada pagi Khamis lalu.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia selepas enam hari dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru paru.



Pemergian Muhammad Daffrel memberi kesan kepada seluruh keluarganya terutama Muhamad Firdaus dan isteri Norazimah Bunihan, 35, yang berharap dapat menyambut Aidilfitri tidak lama lagi dengan anak istimewa mereka itu.

Bagaimanapun, kini hanya tinggal memori dan kisah Muhammad Daffrel sempat dipakaikan baju raya pada malam sebelum meninggal dunia meruntun hati netizen selepas Muhamad Firdaus memuat naik video berkenaan di TikTok.

“Kebetulan, saya dan isteri sudah beli baju raya untuk anak-anak termasuk Daffrel. Kami rancang nak pakai bersama pada pagi Syawal ini namun keadaan Daffrel kritikal pada malam Rabu lalu.



“Dia pun tidak sedar sejak hari kedua dimasukkan ke hospital, malah doktor juga sudah minta kami bersiap sedia dengan kemungkinan (meninggal dunia) dan kerana itu, saya pakaikan Daffrel baju Melayu berwarna hitam sebagai kenangan terakhir.

“Ditakdirkan, Daffrel meninggal dunia pagi esoknya (Khamis) tidak lama selepas bantuan pernafasan ditanggalkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhamad Firdaus berkata, Muhammad Daffrel disahkan menghidap Cacna1e (isu genetik), kelewatan pembangunan global (GDD), laryngomalacia (saluran pernafasan sempit) sejak berusia empat bulan.

Menyedari keperluan anaknya yang terlantar dan perlu dipantau setiap masa, Muhamad Firdaus berbincang dengan isteri sebelum ambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai cef di sebuah hotel di sini.



“Saya dan isteri buat keputusan yang sukar sebenarnya iaitu salah seorang perlu berkorban demi Daffrel.

“Selepas berbincang, saya yang berhenti kerja kerana jadual rawatan Daffrel yang padat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pada masa sama perlu menguruskan persekolahan abang serta kakaknya.

“Manakala isteri terus bekerja dan ikutkan, saya yang lebih banyak menghabiskan masa dengan Daffrel…jadi pemergiannya amat meninggalkan kesan mendalam hingga ke hari ini.

“Bagaimanapun, sudah takdirnya Daffrel pergi…jadi saya tiada pilihan melainkan reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.



Muhamad Firdaus berkata, walaupun terlantar, Muhammad Daffrel tidak banyak meragam, malah sangat mudah dijaga.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button