Semangat Robial kembali membara ke Sukan SEA
KUALA LUMPUR: Pesilat senior negara, Muhammad Robial Sobri mempunyai visi jelas untuk meraih kilauan pingat emas di Sukan SEA Kemboja pada Mei ini selepas kembali menyertai kelas yang dimahukannya iaitu Putra H (85-90 kilogram).
Pemenang emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu terpaksa melupakan impian untuk mempertahankan gelaran pada dua edisi seterusnya – di Filipina dan Vietnam – kerana kelas itu tidak dipertandingkan dan hanya menyertai kelas baharu, J (90–95kg) di Hanoi, tahun lalu.
Pada tahun lalu di Hanoi, Robial bagaimanapun membuktikan kemampuan dalam kelas yang asing baginya, apabila berjaya berkongsi gangsa bersama pesilat Indonesia, Firdhana Wahyu Putra.
Namun pada tahun ini, Robial akan kembali beraksi dalam kelas kegemarannya sekali gus bakal membawa kembali nostalgia genggaman emas di Kuala Lumpur dapat dicapai di Phnom Penh nanti.
“Dulu main 80-90kg dan selepas Sukan Asia 2018, main 85-90kg. Di Vietnam (tahun lalu) tak ada (kelas berkenaan), jadi saya bermain Kelas J. Sekarang, saya kembali ke kelas saya semula (85-90 kilogram).
“Apabila main kelas saya semula, tentunya lebih selesa lagi untuk cuba dapatkan pingat. Kalau boleh saya nak tebus semula (pingat emas) kerana sebelum ini (di Vietnam), menyertai kelas baharu, jadi ia sedikit tidak selesa dan kali ini kembali ke kelas lama… InsyaAllah (emas),” kata Robial.
Kemboja bakal menjadi pentas keempat buat Robial di temasya dwitahunan berkenaan selepas meraih perak di Singapura 2015, emas di Kuala Lumpur 2017 dan gangsa di Hanoi 2021.
“Bagi saya, kali ini daripada sudut persiapan yang dilakukan jurulatih, persatuan, MSN (Majlis Sukan Negara)… setakat ini InsyaAllah yakin boleh buat untuk Sukan SEA. Kami juga ada program lagi di Bandung Indonesia dari 4 hingga 16 April ini. Di sana, akan buat persediaan lebih rapi untuk Sukan SEA,” katanya.
BHOnline