Kakak love Abah

Kusimpan kemas hingga akhir hayat…

Temerloh: “Selamat hari jadi, abah ini je (saja) akak (kakak) dapat bagi (beri). Abah selalu tolong akak. Boboy, kakak love Abah.”

Itu ucapan hari lahir yang ditulis Shazlynda Ibrahim, 20, anak kepada pemandu treler yang meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Bukit Besi di Terengganu pada Ramadan kelapan, 30 Mac lalu.



Lebih memilukan, kertas ucapan bercorak kartun yang ditulis Shazlynda ketika berusia 11 tahun itu ditemui anggota penyelamat ketika melakukan operasi menyelamat Ibrahim Md Zali, 52, pada hari kejadian.

Shazlynda berkata, kehilangan bapa tersayang pada bulan mulia ketika menjelang sambutan Aidilfitri membuatkan kemeriahan perayaan itu sudah tidak dirasai lagi buat keluarga besar mereka.

Menurutnya, ibunya Sanisahuri Mohd Johor, 53, adalah isteri kedua bapanya dan dia bersama adiknya berusia 16 tahun mempunyai empat adik-beradik lain daripada perkahwinan bapa bersama ibu tirinya.

“Pemergiaan abah sangat meninggalkan kesan mendalam pada kami kerana ia berlaku secara mengejut dan kita sedang berpuasa serta bakal menyambut hari raya tidak lama lagi.



“Malah, paling memberi kesan kepada saya apabila kertas ucapan hari lahir yang ditulis sembilan tahun lalu masih disimpan dengan baik oleh abah,” kata penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UTM) itu ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menyingkap memori ketika dia menulis ucapan itu, Shazlynda berkata, kertas berkenaan diletakkan dalam beg bapanya secara diam-diam kerana berasa malu untuk menyerahkan terus kepada insan tersayang.

“Saya seperti abah seorang yang pemalu, tetapi saya tahu abah akan simpan kertas itu kerana dia sangat menghargai pemberian semua anaknya, cuma tak sangka rupanya abah membawanya ke mana saja sehingga hari kejadian.

“Abah seorang bapa yang penyayang dan selalu mengingatkan kami enam beradik supaya selalu menjaga hubungan dengan erat biarpun berlainan ibu. Hubungan kami memang baik,” katanya memaklumkan kedua-dua keluarga tinggal di taman perumahan sama, di sini, namun berlainan lorong.



Katanya, sebelum kejadian, bapa ada memintanya memandu sendiri untuk pulang beraya ke kampung halaman ibunya di Kuala Kangsar, Perak tahun ini dan memberitahu dia tidak dapat menghantar mereka.

“Tahun ini giliran abah beraya bersama keluarga pertama dan kami akan pulang ke Perak. Setiap kali pulang, abah yang akan hantar kami tetapi kali ini abah minta saya yang pandu kereta sendiri.

“Kebetulan saya sudah dapat lesen memandu, jadi dia suruh saya memberanikan diri kerana tidak boleh hantar kami dan mungkin itu adalah petanda yang abah akan pergi meninggalkan kami semua.

“Sedih sangat Aidilfitri tahun ini sebab kalau abah tak beraya dengan kami pun, kami tahu abah ada dan akan pulang beraya dengan kami juga nanti, tetapi kali ini abah tak akan kembali lagi,” katanya.



Sementara itu, anak sulung Ibrahim, Asmaidatulidayu Shaera, 28, berkata, mereka enam beradik sangat rapat dengan bapa dan arwah akan menghabiskan masa bersama keluarga biarpun sibuk bekerja.

Katanya, ibunya, Azizah Mat Jani, 50, yang juga suri rumah ketika ini masih terkesan dengan kejadian yang meragut nyawa bapa mereka.

“Abah seorang yang penyayang kepada isteri, semua anak termasuk menantu dan cucu. Selalu juga dia menghabiskan masa bersama emak kerana emak suri rumah kebetulan ibu (ibu tiri) bekerja. Emak masih bersedih dengan kehilangan abah tetapi kami reda dengan takdir ini.

“Memang sedih sebab kali ini giliran keluarga kami beraya dengan abah, malah arwah juga merancang mahu beraya bersama adik-beradiknya dan mahu bakar lemang bersama abangnya,” katanya.



Katanya, lebih membuat mereka terkesan apabila mengingati perancangan arwah sejak hujung tahun lalu untuk memakai baju raya berwarna putih.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button