Lampard setuju latih semula Chelsea
London: Frank Lampard bersetuju untuk memikul tanggungjawab sebagai pengurus sementara Chelsea di saat pemilik kelab, Todd Boehly dan Behdad Eghbali meneruskan usaha mengintai calon terbaik bagi menggantikan tempat Graham Potter.
Potter dipecat pada Ahad lalu selepas deretan keputusan buruk yang meletakkan pasukan itu di tempat ke-11 carta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bruno Saltor yang menjadi sebahagian barisan kejurulatihan ketika di bawah Potter, mengambilalih tugas berkenaan ketika mereka terikat tanpa jaringan dengan Liverpool di laman sendiri, Selasa lalu.
Lampard yang mengemudi Everton sehingga Januari lalu akan kembali ke Stamford Bridge iaitu persekitaran yang pernah menyaksikan dia diminati penyokong Chelsea sepanjang 13 tahun bergelar pemain – sebelum mengalami musim hambar sebagai pengurus dari 2019 hingga 2021.
Bekas pemain berusia 44 tahun itu yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea dengan 211 gol, disingkirkan daripada jawatan itu pada Januari 2021 selepas mengendalikan 84 perlawanan bersama Chelsea.
Bekas pemain kebangsaan England itu akan ditugaskan untuk mendapatkan sebanyak mungkin keputusan yang bagus pada baki perlawanan musim ini selepas kelab membelanjakan ratusan juta pound pada sesi pemindahan pemain Januari lalu.
Berada dalam kelompok kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim depan tampak menjadi satu tugas berat buat kelab London itu, apabila kini ketinggalan 14 mata di belakang kelompok empat teratas dengan hanya berbaki sembilan perlawanan.
Ketika ini, harapan mereka untuk meraih gelaran ketiga UCL masih ada apabila beraksi di suku akhir menentang Real Madrid, bulan ini.
Posisi pengurusan Chelsea menjadi spekulasi hangat diperbincangkan dengan Julian Nagelsmann and Luis Enrique antara nama yang dikaitkan dengan tugas itu.
Bekas jurulatih Sepanyol dan Barcelona, Enrique berlepas ke London untuk perbincangan bersama Chelsea, lapor media tempatan.
Reuters