Melaka cari kaedah selesai penyuraian trafik di pusat bandar

MELAKA: Kerajaan negeri akan mencari kaedah terbaik untuk melaksanakan sistem penyuraian trafik secara berkesan, khususnya pada waktu hujung minggu dan cuti umum di kawasan bandar raya ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata beliau sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyediakan cadangan khas bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan.

“Saya lihat sendiri kesesakan lalu lintas di kawasan Banda Hilir dan mahu isu membelenggu pengguna jalan raya itu diselesaikan segera.



“Pada masa sama, saya melihat sistem perniagaan di Banda Hilir, khususnya sekitar Menara Taming Sari perlu ditambah baik bagi keselesaan peniaga serta pengunjung,” katanya selepas melakukan tinjauan mesra di Banda Hilir, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri melakukan pelbagai persediaan bagi menjayakan Tahun Melawat Melaka (TMM) pada tahun depan.

Katanya, ia termasuk memelihara dan memulihara semua produk pelancongan bukan saja di kawasan bandar, tetapi juga di luar bandar.



“Sejajar dengan slogan Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia, saya berazam untuk memastikan kempen TMM diperhebatkan.

“Saya mahu semua rakyat Melaka mengambil bahagian dalam menjayakan TMM, sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi diri dan negeri,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button