Pemain Ajax dibaling objek
Rotterdam: Pemain Ajax Amsterdam, Davy Klaassen cedera di kepala akibat terkena objek dibaling dari tempat duduk penonton ketika mereka menewaskan musuh ketat, Feyenoord untuk mara ke final Piala Belanda, awal pagi tadi.
Insiden itu menyebabkan perlawanan ditangguhkan untuk tempoh panjang dan seorang lelaki ditahan pada ketika kepala Klaassen berlumuran darah sebelum dia digantikan.
Perlawanan tertangguh selama 28 minit sebelum disambung dan Ajax menang 2-1 untuk mara ke final berdepan PSV Eindhoven pada 30 April depan.
Ajax mendahului 2-1 sebelum kekecohan tercetus dalam kalangan pemain berhampiran kawasan sepakan sudut dan kepala Klaassen terkena objek dipercayai pemetik api.
Pemain Ajax kemudian meninggalkan padang diikuti pemain Feyenoord, sebelum penolong jurulatih mereka, John de Wolf mententeramkan penyokong tuan rumah dan perlawanan disambung semula.
Klaassen, 30, yang juga pemain antarabangsa Belanda dikeluarkan tidak lama selepas perlawanan bersambung selepas dia mengadu pening kepala.
Polis berkata, seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang diadakan.
Perlawanan separuh akhir itu yang diadakan beberapa minggu selepas Feyenoord menewaskan Ajax di Amsterdam, sekali gus menghampiri gelaran liga, bermula lima minit lewat berikutan asap mercun yang dibakar penyokong Feyenoord.
Ia kemudian dihentikan kira-kira 21 saat selepas sepak mula untuk membolehkan asap tebal hilang.
Reuters