Podence didakwa ludah pemain Forest
London: Penyerang Wolverhampton Wanderers, Daniel Podence didakwa oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris kerana meludah pemain lawan ketika pasukannya seri 1-1 di Nottingham Forest, Sabtu lalu.
Pemain Forest, Brennan Johnson mendakwa Podence meludah ke arahnya pada minit ke-90 perlawanan dan insiden itu disiasat video bantuan pengadil (VAR) ketika itu dan tiada tindakan diambil terhadap pemain Portugal itu.
Podence menjaringkan gol penyamaan untuk Wolves dan mendakwa insiden sebelum wisel penamat itu berlaku ketika kekecohan pemain.
Jika didapati bersalah, Podence berdepan hukuman mandatori digantung enam perlawanan dan sudah pasti memberi tamparan hebat kepada Wolves yang bergelut untuk mengelak berada dalam zon penyingkiran.
Perlawanan dalam suasana tegang itu turut menyebabkan Forest didakwa oleh FA kerana gagal mengawal pemain mereka yang mengerumuni pengadil pada minit ke-40.
Penolong pengurus Forest, Alan Tate dan rakan sejawatnya di pasukan lawan, Pablo Sanz turut berdepan dakwaan FA kerana tindakan tidak wajar.
Mereka memiliki tempoh sehingga 12 April ini untuk memberikan maklum balas.
Reuters