Anak dah trauma mandi di bilik air ini

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas terkena bahan kimia yang mengalir melalui paip jirannya di kediamannya di Kepong, kelmarin.

Bapa kanak-kanak berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Hasnul, 30-an, berkata, ketika kejadian kira-kira 6.30 petang, anak perempuannya berusia lima tahun itu sedang mandi di bilik air selepas pulang daripada taska.

“Semasa dia mandi, saya terdengar anak menjerit sebelum saya bergegas ke bilik air. Saya nampak ada air hitam yang mengalir pada paip jiran tingkat atas yang terletak di bawah pancuran air.



“Saya nampak seluruh badan anak merah dan dia memaklumkan mengalami kepedihan. Saya menjerit dari bilik air itu untuk memaklumkan kepada jiran supaya berhenti mencurah bahan kimia berkenaan yang masih mengalir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, jirannya mungkin tidak mendengar jeritan itu menyebabkan dia terpaksa pergi ke kediaman jiran di tingkat atas untuk memaklumkan perkara terbabit.

“Saya kemudian terus membawa anak ke klinik berhampiran untuk rawatan lanjut. Anak bernasib baik apabila doktor memaklumkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan kesan merah di seluruh badannya juga kini sudah hilang.

“Berdasarkan maklumat daripada jiran, dia memaklumkan membeli bahan kimia di sebuah kedai perkakas untuk mengatasi masalah paip tersumbat. Namun dia mungkin tidak tahu cara untuk menggunakan bahan itu yang menyebabkan paip menjadi kembang dan penutupnya terbuka sekali gus mengalirkan bahan kimia ke bilik air ini,” katanya.



Hasnul berkata, kejadian itu menyebabkan anaknya trauma untuk mandi di bilik air berkenaan kerana bimbang perkara sama berulang.

“Nasib baik bilik air di rumah ini ada dua. Kadang-kadang dia terpaksa mandi di bilik air ini dan saya akan menemaninya untuk menjaganya memandangkan dia tidak mahu bersendirian,” katanya.

Menurutnya, dia tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu memandangkan anaknya tidak mengalami kecederaan serius.

“Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Namun, saya hanya mahu mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan bahan kimia untuk mengatasi masalah paip tersumpat.



“Seeloknya dapatkan khidmat pakar berkaitan dan merujuk kepada individu yang arif mengenai penggunaan bahan kimia seperti itu. Jangan ambil tindakan mudah dengan membuat sendiri kerana mahu berjimat hingga mendatangkan kecederaan terhadap orang lain,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button