Hakim Peters tarik diri dengar MAIPs celah kes hak jaga anak

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Evrol Mariette Peters, menarik diri daripada mendengar permohonan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk menjadi pencelah dalam kes hak penjagaan

tiga anak yang diberikan kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Siew Hong mendapat hak itu selepas bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran didakwa melarikan dan menukar agama tiga anak tanpa kebenaran ibu mereka.

Peguam bela MAIPs, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, ketika dihubungi pemberita mengesahkan keputusan hakim berkenaan yang dibuat ketika pengurusan kes itu secara dalam talian hari ini.



“Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 19 April depan di hadapan timbalan pendaftar,” katanya.

Mengikut satu salinan surat, MAIPs memohon Peters untuk menarik diri kerana adalah hakim sama yang menolak permohonan mencelah kes berkenaan pada 15 Jun tahun lalu, atas alasan majlis itu gagal menunjukkan ada kepentingan dalam kes kanak-kanak terbabit.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan MAIPs untuk menjadi pencelah dalam prosiding perceraian pasangan itu bagi meminda perintah penjagaan anak mereka yang diberikan kepada Siew Hong.

MAIPs memohon untuk menyediakan pendidikan, latihan Islamik serta zakat kepada ketiga-tiga kanak-kanak terbabit.



Bagaimanapun, pada 7 Februari lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Peters dan membenarkan MAIPs untuk mencelah kes penceraian Siew Hong serta isu penjagaan anak berkenaan.

Panel tiga hakim mahkamah itu memutuskan dua peruntukan iaitu Aturan 15 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Seksyen 96 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, memberikan MAIPs hak undang-undang untuk mencelah.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker