United didenda buat kali keempat musim ini

LONDON: Manchester United didenda 65,000 pound (RM355,588) hanya kerana kelakuan pemain mereka ketika pertembungan dengan Fulham.

Denda itu dikenakan selepas Red Devils didakwa gagal mengawal pemainnya ketika kemenangan di suku akhir Piala FA ke atas Fulham di Old Trafford.

Pada Mac lalu, kelab itu didakwa kerana tindakan pemainnya mengepung pengadil, Chris Kavanagh bagi merayu satu sepakan penalti selepas pemain Fulham, Willian dilihat terkena bola.



Situasi itu berlaku ketika percubaan Jadon Sancho dihalang pemain dari Brazil itu di garisan gol dan Kavanagh pula membenarkan permainan sehingga mengundang protes.

Namun selepas pemeriksaan VAR dilakukan, sepakan penalti diberikan dan Willian diarah keluar padang.

Aleksandr Mitrovic dan pengurus Fulham, Marco Silva juga dikeluarkan kerana reaksi mereka terhadap insiden berkenaan dan pada ketika itu, tiada hukuman dikenakan ke atas pemain Man United.

Begitupun, kelab didakwa pada hari berikutnya dan meskipun mengemukakan rayuan, United kini sudah menerima dakwaan berkenaan.



FA mengesahkan perkara itu dan kelab didenda 65,000 pound (RM355,588) dan ini bermakna Red Devils kini menjadi pasukan paling banyak dikenakan denda pada musim ini.

“Manchester United FC didenda 65,000 pound (RM355,588) selepas pemainnya mengepung pegawai perlawanan ketika 71 minit pertembungan dengan Fulham FC dalam saingan Piala FA pada Ahad, 19 Mac 2023,” kata FA dalam satu kenyataan.

Hukuman ini adalah yang keempat buat kelab setakat musim ini selepass melakukan tiga kesalahan lain.

United didenda 137,000 pound (RM749,471) kerana kesalahan gagal mengawal pemain dalam pertembungan menentang Newcastle dan Chelsea pada Oktober dan Crystal Palace, Januari lalu.



Secara keseluruhan, United sudah pun dikenakan denda 202,000 pound (RM1.1 juta) pada musim ini manakala Arsenal kelab kedua terbanyak, 185,000 pound (RM1.01 juta).

Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button