Pengampunan Najib, Anwar akui berada dalam Lembaga Pengampunan

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau berada dalam Lembaga Pengampunan, namun menegaskan kuasa memberi keampunan adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, Perdana Menteri menegaskan tidak timbul konflik kepentingan dalam hal itu kerana ada proses yang perlu diikuti dan keputusan akhir adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Tentunya kita akan patuh kepada peraturan dan syarat, ia melalui proses ditetapkan walaupun saya akan ada dalam proses itu.



“Akhirnya seperti yang diketahui soal penganugerahan pingat dan soal pengampunan itu wewenang dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada media selepas Pelancaran Program Kita-Untuk-Kita (K2K) di sini, hari ini.

Difahamkan, Anwar berada dalam lembaga itu bukan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri tetapi bagi menjaga portfolio Menteri Wilayah Persekutuan.

Di bawah Perkara 42(5) Lembaga Pengampunan membabitkan Peguam Negara, Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab (Perkara 42(11) dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Agong.

Menurut Perlembagaan, Lembaga Pengampunan perlu dianggotai Peguam Negara atau wakilnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan, dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik lembaga itu dipengerusikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong



Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Anwar berkata, setakat ini, adalah terlalu awal untuk beliau mengulas lanjut berhubung permohonan pengampunan membabitkan Najib itu.

Malah, katanya, beliau masih tidak melihat kertas kerja berhubung pengampunan itu.



“Semua pihak perlu menghormati sepenuhnya proses itu dan saya tidak melihat sebarang kertas kecuali resolusi UMNO,” katanya

Beliau juga menegaskan tidak mahu menghalang sesiapa saja memohon pengampunan kerana itu menjadi hak sesiapa saja untuk berbuat demikian.

“Permohonan itu perlu mengikuti proses yang mana akhirnya keputusan adalah di bawah budi bicara Yang di- Pertuan Agong,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button