Tiada individu termasuk hakim boleh dikecualikan siasatan undang-undang

Kuala Lumpur: Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, menegaskan tiada mana-mana individu atau pihak termasuk badan kehakiman boleh dikecualikan daripada penyiasatan penguat kuasa undang-undang.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham berkata, dakwaan Badan Peguam Malaysia yang menyatakan bahawa SPRM sebagai badan penguat kuasa tidak kompeten atau tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat bekas Hakim Mahkamah Tinggi, adalah tidak benar.

Beliau berkata, dalam kes berprofil tinggi seperti SRC International, tanpa kecekapan SPRM menyiasat, kes itu tidak akan dapat bertahan dalam perbicaraan di mahkamah.

“Dalam kes SRC International, terdapat sabitan yang kukuh serta melepasi beberapa peringkat rayuan oleh defendan.

“Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa tiada sesiapa atau pihak yang berhak dikecualikan daripada penyiasatan oleh penguat kuasa undang-undang, sama ada anggota pentadbiran, badan perundangan atau badan kehakiman,” katanya semalam.

Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, juga menyangkal kenyataan Majlis Peguam Malaysia dan beberapa pihak lain yang berkata, SPRM tidak mempunyai peranan untuk melaksanakan tugasan menyiasat etika Hakim disebabkan terdapat Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010.

“Ia tidak sepenuhnya betul terutamanya dalam penegasan bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa atau kecekapan.

“SPRM diwujudkan sebagai satu entiti untuk memerangi rasuah di Malaysia. Ia diberi kuasa oleh Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk menyiasat sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.

“Tiada agensi atau badan lain yang mempunyai kuasa yang lebih tinggi dan tidak mempunyai kecekapan untuk menyiasat kesalahan jenayah rasuah,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila menerima laporan atau aduan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan, SPRM bertanggungjawab untuk menyiasat dan apabila disiasat lalu menemukan bukti dan fakta untuk menyokong unsur rasuah atau salah guna kuasa, kertas siasatannya kepada Peguam Negara.

Selain itu, Ahmad Rosli berkata, berdasarkan fakta siasatannya, dalam kes tertentu SPRM juga boleh merujuk kes untuk tindakan tatatertib mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 17 Tahun 1975 Dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 5 Tahun 1997 dengan persetujuan Pendakwa Raya.

Fungsi SPRM dalam siasatan kes bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu juga sudah selesai apabila agensi penguat kuasa itu merujuk kertas siasatannya kepada Ketua Hakim Negara, seperti yang dimaklumkan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman pada 23 Februari lalu, atas persetujuan Peguam Negara.

“Azalina semalam juga sudah mengesahkan satu laporan dihantar kepada Ketua Hakim Negara dan dalam laporan itu dinyatakan terdapat pelanggaran Kod Etika Hakim,” katanya.

Menjelas lebih lanjut, Ahmad Rosli berkata, hak di bawah Perlembagaan dan kuasa SPRM untuk menyiasat sebarang bentuk rasuah yang disyaki dan salah guna kuasa Hakim Mahkamah Atasan sebenarnya sudah dijelaskan dan diperakui dalam kes Haris Fathillah bin Mohamed Ibrahim & Anor lwn Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia (No. Rujukan Awam: 06(RS)-4-07/2022(W)) pada 24 Februari 2023.

Beliau yang juga Pengajar Khas, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, kes itu kini tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara Ketua Hakim Negara sama ada untuk memulakan sebarang tindakan seperti yang digariskan di bawah Fasal 3 Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia memperuntukkan penubuhan tribunal untuk meneliti sebarang pelanggaran peruntukan kanun etika berkenaan Hakim,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker