Beberapa saat dipisahkan daripada maut
Madrid: Seorang lelaki di Sepanyol bernasib baik apabila sempat keluar dari sebuah kedai dobi sebelum ia meletup, baru-baru ini.
Portal NDTV melaporkan, berdasarkan rakaman video tular, insiden berlaku beberapa saat selepas lelaki terbabit meninggalkan premis itu.
Video tidak bertarikh itu, dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam bangunan itu.
Ia kemudian tersebar di Twitter hingga meraih lebih daripada tiga juta tontonan.
Rakaman itu mengejutkan pengguna media sosial, dengan rata-ratanya menganggap lelaki itu amat bertuah kerana meninggalkan tempat itu tepat pada masanya.
Berdasarkan klip video itu, lelaki terbabit keluar dari kedai dobi dengan membawa beg berisi baju cucian ketika mesin basuh masih berputar.
Beberapa saat kemudian, pintu salah satu mesin basuh terbuka, beberapa pakaian terjatuh diikuti letupan.
Menurut laman web tempatan, kejadian itu berlaku pada jam 7.30 malam dan didengari ramai penduduk di kawasan itu.
Panik dengan kejadian itu, penduduk segera menghubungi kecemasan 112.
Laporan media tempatan mendakwa salah seorang pengguna meninggalkan pengecas untuk pemetik api di dalam pakaian yang menyebabkan letupan.
Susulan kejadian, bomba merobohkan dinding premis kerana risiko keselamatan dan mencadangkan membina semula keseluruhan struktur itu.
Agensi