‘Mama, ayah, Aydan tidur dulu…’

Kajang: “Mama, tengok ni (ini) Aydan lukis, Aydan lukis mama ayah ngan (dengan) Aydan. Ni Aydan tengah tidur.

“Aydan tidur dulu, nanti mama ngan (dengan) ayah tidur lah,” itu antara perbualan terakhir Aydan Hadiff Muhamad Afiq dengan ibunya, Nor Hazwani Amir Hamzah beberapa hari sebelum meninggal dunia.

Kata-kata itu diungkapkan Aydan Hadiff, 7, ketika menunjukkan hasil lukisannya kepada Nor Hazwani, 33, dan masih terngiang-ngiang sehingga ke hari ini.



Nor Hazwani tidak dapat melupakannya kerana lukisan itu seolah-olah memberi petanda dan menggambarkan Aydan Hadiff yang juga anak tunggalnya akan pergi buat selamanya.

Ia kerana dalam lukisan itu, Nor Hazwani dan suami, Muhamad Afiq Rosli, 33, dilihat terbaring dengan Aydan Hadiff juga baring tidak jauh dengan mereka tetapi dalam keadaan badan berbalut.

Selepas pemergian Aydan Hadiff, baru Nor Hazwani sedar yang balutan pada badan anaknya itu rupanya membawa maksud kain kafan dan bukan kain bedung seperti disangka.

Berkongsi kesedihannya, Nor Hazwani yang menetap di Taman Sepakat Indah, di sini berkata, anaknya meninggal dunia kerana pendarahan dalaman di otak dan bahagian abdomen selepas terbabit dalam kemalangan pada 4 April lalu.



Menurut Nor Hazwani, kemalangan berlaku ketika dia, suami, dan Aydan Hadiff dalam perjalanan menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bangi, di sini.

“Arwah yang beriya-iya mengajak saya dan suami solat di masjid malam itu walaupun pada mulanya kami berat hati kerana bercadang nak buat solat tarawih di rumah saja.

“Tapi kerana arwah nak pergi sangat, kami turutkan dan kemalangan berlaku betul-betul ketika azan Isyak berkumandang.

“Ia terjadi selepas motosikal dinaiki kami bertembung dengan motosikal lain di Seksyen 2, Bangi iaitu ketika kami hampir tiba di masjid,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.



Nor Hazwani berkata, anaknya sempat dikejarkan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan namun tidak dapat diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.20 pagi pada 5 April lalu.

Akibat kemalangan itu, Nor Hazwani turut mengalami kecederaan ringan manakala suaminya patah tulang paha dan baru selesai menjalani pembedahan semalam.

“Saya kini di rumah manakala suami masih dalam fasa pemulihan.

“Lebih menyedihkan buat suami adalah apabila dia tak dapat uruskan jenazah Aydan (nama panggilan) hingga dikebumikan di kampungnya (kampung suami) di Tangkak, Johor kerana masih berada di wad,” katanya.



Bercerita lanjut, Nor Hazwani berkata, dia tidak fikir kemungkinan yang buruk akan berlaku ketika Aydan Hadiff menunjukkan hasil lukisannya itu.

“Arwah hasilkan lukisan itu awal Ramadan lalu dan waktu dia tunjuk (hasil), kami tidak berasa apa-apa yang pelik kerana arwah memang suka melukis.

“Bila arwah tiada, barulah perasan rupanya dia seperti sudah mendapat gambaran dan tinggalkan lukisan ini untuk kami.

“Arwah bercita-cita nak jadi pelukis, tak sangka lukisannya akan tular selepas pemergiannya.



“Apa pun, kami reda dengan ketentuanNya dan tahu anak kami di bawah jagaan Nabi Ibrahim di syurga. insya-Allah arwah sedang bergembira di sana,” katanya yang berterima kasih kepada semua yang mendoakannya sekeluarga.

Meskipun begitu, Nor Hazwani mengakui sedih apabila mengenangkan perancangannya dan suami bersama Aydan Hadiff yang tidak kesampaian.

“Saya dan suami akan sambut ulang tahun perkahwinan pada 17 April dan sudah merancang nak pergi berbuka puasa dengan Aydan di luar tetapi tak kesampaian kerana dia pergi dulu.

“Kami juga sudah beli baju raya minggu lalu dan pilih tema hitam, seolah-olah tahu akan ada kematian.



“Kini, semuanya tinggal kenangan. Saya dan suami juga mungkin bercadang menetap di Tangkak, Johor nanti supaya lebih dekat dengan pusara Aydan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button