Misi selamatkan Pak Belang

Kuala Lumpur: Bukan mudah menguruskan raja rimba atau pak belang yang cedera, sakit, garang dan agresif.

Namun semua itu mampu diharungi ‘pakar harimau’ di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) yang diamanahkan tugas menjaga serta merawat Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) berprofil tinggi.

Kebanyakan mamalia pemangsa ini terbabit dalam kes serangan terhadap manusia dan haiwan ternakan sebelum berjaya ditangkap menggunakan perangkap khas.



Ketua Pusat NWRC, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ishak Muhamad berkata, pusat pemuliharaan hidupan liar itu dikendalikan kakitangan profesional, berpengetahuan tinggi serta berkemahiran mengendalikan haiwan liar dilindungi.

Menurutnya, sehingga kini petugas di NWRC terbabit dalam usaha menyelamat, memindahkan dan merawat enam ekor harimau Malaya ‘terkenal’ yang ditangkap Perhilitan di seluruh negara.

“Antaranya harimau jantan diberi gelaran Yeop Tapah, Awang Besul, Atan Kerteh dan Awang Rasau selain dua harimau betina dinamakan Syamilla Bihai dan Mek Santong.

“Walau bagaimanapun Awang Besul gagal diselamatkan berikutan mati akibat jangkitan virusĀ Canine Temper Disorder. Manakala Awang Rasau mati kesan komplikasi teruk ditembak pemburu haram,” katanya.



“Pasangan Atan Kerteh dan Syamilla Bihai pula sudah dihantar ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang, Pahang untuk program pembiakan harimau Malaya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Mek Santong yang ditangkap di Felda Kerteh, Terengganu minggu lalu masih menjalani proses kuarantin dan berada dalam keadaan sihat.

“Kebiasaannya harimau yang diselamatkan akan ditempatkan di NWRC untuk dikuarantin selama 14 hari. Jika harimau itu mengalami kecederaan, ia akan dirawat dengan lebih lanjut, melalui proses kawalan penyakit berjangkit dan sebagainya.

“Terdapat pelbagai cabaran utama menguruskan harimau Malaya susulan haiwan liar ini diselamatkan dalam pelbagai situasi. Ada yang ditemui dalam keadaan cedera parah dijerat atau ditembak pemburu haram selain tua dan berpenyakit.



“Kebiasaannya harimau Malaya tua mengalami penyakit seperti osteoarthritis, katarak, ricket selain penyakit pyometra bagi harimau betina,” katanya.

Ishak berkata, masalah turut berlaku bagi pasangan harimau yang tidak serasi terutama jika harimau dilahirkan dalam kurungan,

“Selain itu, wujud masalah pembiakan baka baharu susulan keadaan harimau yang kurang produktif apabila kebanyakan mamalia jantan ini mempunyai air mani kurang berkualiti.

“Ia boleh berpunca akibat faktor persekitaran habitat, stress, pemakanan dan lain-lain faktor. Isu kekurangan induk ini turut menjadi faktor penurunan populasi harimau Malaya ketika ini,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button