Pemandu kereta tertidur di lampu isyarat, bukan mabuk

Sungai Petani: Polis mengesahkan pemandu kereta rupanya tertidur dan bukan mabuk ketika berhenti di lampu isyarat merah Sungai Jagung dalam kejadian yang tular, baru- baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, video berkaitan dimuat naik di YouTube, 1 April lalu memaparkan beberapa orang awam mengetuk tingkap kereta.

Zaidy berkata, siasatan mendapati pemandu kereta terbabit keletihan dan tertidur dalam keretanya sementara menunggu lampu isyarat merah.



Beliau berkata, selepas lampu bertukar hijau, tiba-tiba kenderaannya dikerumuni beberapa individu yang mengetuk pintu dan cermin tingkap serta menyebut perkataan mabuk.

“Pemandu kereta terbabit terkejut dan panik dan hendak meneruskan perjalanan ke rumahnya tetapi kenderaannya tetap diketuk dan diarahkan untuk berhenti sehinggalah dia memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.

“Dengan bantuan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Zon Delta yang tiba di lokasi tidak lama kemudian berjaya menyuraikan kekecohan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaidy berkata, polis ketika itu mendapati tiada sebarang kesan bau alkohol ketika hasil temubual yang dijalankan terhadap lelaki yang juga pemandu kenderaan terbabit.



Beliau berkata, sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang awam supaya tidak sewenangnya memuat naik gambar, video sensitif melalui laman sosial yang boleh mengundang fitnah atau kemarahan kepada masyarakat.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button