Kekurangan pekerja rencat pemulihan sektor pelancongan Vietnam
HANOI: Pengusaha pelancongan di Vietnam sukar mendapatkan pekerja untuk menampung permintaan industri itu yang kembali rancak selepas ia suram akibat pandemik COVID-19, lapor media tempatan, hari ini.
Sektor pelancongan Vietnam adalah antara paling teruk terjejas di dunia, yang menyaksikan hampir satu pertiga kakitangan dalam industri itu hilang pekerjaan, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan memaklumkan, sebanyak 44 peratus pekerja memiliki pengalaman lima hingga 10 tahun dan 90 peratus yang mempunyai ijazah, beralih kepada bidang lain yang kurang terkesan ketika pandemik itu untuk mencari sumber pendapatan.
Ramai pengusaha pelancongan merancang untuk menangani isu pengambilan pekerja pada akhir tahun lalu, namun hanya berjaya mengisi 60 peratus jawatan, setakat ini.
Naib Pengerusi Persatuan Pelancongan Vietnam, Cao Thi Ngoc Lan, berkata sektor pelancongan ketika ini memerlukan lebih 485,000 pekerja bagi membolehkan ia beroperasi sekurang-kurang 70 peratus kapasiti penuhnya.
Beliau berkata, bilangan pekerja dalam industri itu diramalkan meningkat kepada 800,000 menjelang 2025, dan menjadi sejuta menjelang 2030.
Vietnam menyasarkan untuk menerima ketibaan lapan juta pelancong asing yang dijangka menjana pendapatan kira-kira AS$27 bilion tahun ini.
BERNAMA-XINHUA