MOT siasat pelabuhan kes seludup heroin
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyiasat pelabuhan yang digunakan kartel untuk menyeludup bahan terlarang.
Menterinya, Anthony Loke, berkata MOT belum mendapat maklumat berhubung penemuan heroin dalam kuantiti besar yang ditemui dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lalu.
“Apa-apa kargo menggunakan pelabuhan kita untuk mengangkut bahan larangan adalah kesalahan serius.
“Kita akan mendapatkan maklumat mengenai pelabuhan berkaitan dan membuat siasatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini, hari ini.
Loke berkata, pihaknya belum menerima maklumat berhubung pelabuhan yang dikaitkan dengan penyeludupan heroin itu.
Sebelum ini, pihak berkuasa Australia dilaporkan merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggar bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.
Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu, berkata Pasukan Sempadan Australia (ABF) mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.
Semakan mendapati penghantaran itu diisytihar sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.
BHOnline