‘Setiap kali raya, along mesti buat hal’

Kuala Lumpur: Tidak mahu menerima bayaran dan caj hingga berkali ganda. Itu taktik terbaru along yang seolah-olah sengaja menjadikan musim perayaan untuk menekan peminjam terutama ketika musim perayaan.

Selepas menawarkan promosi pinjaman secara besar-besaran sama ada melalui iklan haram atau pun di media sosial, lintah darat ini akan mencari ruang mengugut peminjam untuk mendapatkan bayaran lebih tinggi, sekurang-kurangnya satu kali ganda.

Dalam kes terbaru, seorang ahli perniagaan buntu selepas hasratnya untuk membayar hutang pinjaman berjumlah RM80,000 tidak diterima along, sebaliknya meminta dia memindahkan wang sebanyak RM160,000.



Mangsa yang mahu dikenali sebagai Roy, 49, berkata, dia membuat pinjaman keseluruhan RM100,000 hujung tahun lalu dan membayar ansuran pertama RM20,000.

“Selepas itu saya bayar faedah dalam kadar yang kecil antara RM3,000 hingga RM5,000 sehinggalah minggu lalu apabila saya mahu bayar keseluruhan RM80,000.

“Saya terkejut apabila along tidak mahu terima walaupun saya berkali-kali menyatakan bahawa saya ingin lunaskan semuanya.

“Sebaliknya saya dan keluarga diugut dan along berkenaan meminta bayaran sehingga RM160,000 dengan alasan ini musim perayaan,” katanya yang membuat aduan kepada Ketua Aktivis Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah.



Sementara itu Azman berkata, trend menekan, mengugut dan mengancam pengguna semakin menjadi-jadi terutama setiap kali musim perayaan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, ia bertambah serius ketika Perintah Kawalan Pergerakan lebih dua tahun lalu dengan along lebih banyak berurusan menggunakan aplikasi tanpa bertemu peminjam.

“Ketika itu orang susah. Ada along yang bagi RM150 saja walaupun nilai pinjaman RM1,000. Mereka mengambil kesempatan di atas kesempitan hidup mangsa apatah lagi ketika musim perayaan.

“GTPM bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) untuk membantu pengadu.



“Kita menyediakan pelan tindakan khusus yang akan dibentangkan kepada pihak berwajib selepas hari raya nanti untuk memastikan tindakan undang-undang dapat diambil ke atas along yang semakin berleluasa,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button