Budak baju merah kena tumbuk, yang lain tengok je
Kota Belud: Polis akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang disyaki terbabit dalam pergaduhan hasil rakaman video yang tular di aplikasi WhatsApp, sejak semalam.
Klip video yang tular sejak jam 7 petang itu dipercayai berlaku membabitkan pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Belud.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain yang mengesahkan kejadian itu berkata, setakat pagi tadi, pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada individu terbabit atau pihak sekolah.
“Kami juga akan menyiasat sama ada ia pergaduhan atau kes buli dalam kalangan pelajar,” katanya.
Menurut Shahrudin, pihaknya akan mengambil tindakan bersama pengurusan sekolah berkaitan.
“Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga dipohon supaya tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat palsu berkaitan kejadian terbabit,” katanya.
Rakaman itu antara lain menunjukkan, seorang remaja memakai baju T merah yang dipercayai pelajar, ditumbuk beberapa kali oleh seorang pelajar.
METRO