Demi senyuman anak, aku sanggup jual laksa tepi jalan
Putrajaya: Demi mencapai impian membelikan baju raya baharu untuk dua anaknya, seorang lelaki mengambil keputusan berniaga laksa secara jalanan di pusat pentadbiran negara di sini.
Sebelum ini tular di media sosial Tik Tok memaparkan Muhamad Nadhzir Nazrin, 39, menjual laksa di pusat kerajaan di sini dengan memegang poster bertulis ‘jualan untuk beli keperluan raya anak-anak dan isteri’.
Video yang tular itu mendapat sokongan dan perhatian orang ramai sehingga ada individu yang menginfakkan sumbangan untuk diberikan laksa itu secara percuma kepada orang ramai.
Nadhzhir berkata, dia terpaksa menebalkan muka mencari rezeki secara berniaga jalanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Manakala isteri, Nur Izzati Mahshos, 38, yang juga suri rumah mengalami masalah penyakit kulit dan masih menerima rawatan di hospital. Dia turut memerlukan kos rawatan tinggi,” katanya.
Menurutnya,sebelum ini dia berniaga secara kecil-kecilan anjuran Puspanita di Putrajaya.
“Bagaimanapun akibat terputus modal, saya mengambil keputusan menjalankan perniagaan makanan di rumah.
“Ramadan kali ini, saya cuba untuk berniaga laksa bagi mencapai impian membelikan baju raya baharu untuk anak-anak. Pada Aidilfitri lalu, mereka terpaksa memakai baju raya lama,” katanya yang memiliki anak berusia tiga dan empat tahun.
Menurutnya, dia tidak menyangka video yang tular itu mendapat sambutan ramai dan setiap hari dia menjual 50 pek laksa bagi mencapai hasrat itu.
Nadhzir berkata, setiap awal pagi, dia dan isteri akan menyiapkan bahan membuat laksa menggunakan ikan segar dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah yang dibeli dari rakan tanpa menggunakan bahan pengawet.
Beliau yang berasal dari Alor Setar, Kedah, berkata, inisiatif berniaga secara jalanan ini adalah ikhtiar terakhir selepas tidak sanggup melihat ahli keluarga tidak memiliki baju raya baharu kelak.
Menurutnya, dia bersyukur kerana isteri tidak pernah mengeluh dan memahami situasi dilalui mereka.
Dia turut berterima kasih atas sokongan orang ramai yang turut memberikan infaq makanan.
“Bermula semalam hingga Rabu minggu hadapan, laksa dijual ini akan diberikan secara percuma kepada orang ramai selepas ada pihak mahu berkongsi rezeki melalui infaq di bulan mulia ini,” katanya.
METRO