Lewandowski idam bermain dengan Messi di Barca
Barcelona: Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski berkata, dia mahu Lionel Messi kembali ke kelab Catalan itu dari Paris Saint-Germain (PSG), musim panas ini.
Penyerang Argentina berusia 35 tahun yang menjulang Piala Dunia Qatar 2022 itu meninggalkan Barca pada 2021 apabila kelab itu tidak mampu memperbaharui kontraknya manakala kontraknya bersama PSG akan tamat pada Jun ini.
Di sebalik kritikan penyokong PSG yang melihat Messi sebagai satu kesilapan dalam mengejar pemain bintang berbanding membina pasukan kompetitif, Barcelona secara terbuka mengharapkan penyerang itu.
“Messi milik Barca dan jika dia kembali, pasti akan menjadi sesuatu yang menakjubkan,” kata Lewandowski dalam satu majlis kebajikan, hari ini.
“Kita semua tahu tempatnya di sini, di Barcelona. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, tapi saya berharap musim depan kami boleh bermain bersama.”
Messi ialah penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab dan ramai menganggapnya sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.
Penyokong Barcelona menjerit nama Messi pada minit ke-10, mewakili nombor jersinya di Barca dalam dua perlawanan terakhir termasuk ketika seri 0-0 berdepan Girona, Isnin lalu dalam aksi La Liga.
Lewandowski yang kini penjaring terbanyak La Liga, gagal menemui gawang untuk pendahulu liga itu dan berkata dia kini dibelenggu kecederaan.
“Saya berlaga dengan (pemain pertahanan Real Madrid, Eder) Militao pada aksi di Madrid dan tidak boleh berjalan,” kata Lewandowski, merujuk kepada perlawanan Barcelona dibelasah 0-4 di separuh akhir Copa del Rey, minggu lalu.