Bekas setiausaha politik didakwa terima rasuah lebih RM400,000

MELAKA: Seorang bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas 12 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 pada 2017 dan 2018.

Tertuduh, Datuk Rosli Hasan, 52, didakwa menerima suapan itu antara Mei 2017 hingga Februari 2018 dalam bentuk pengubahsuaian rumah milik isterinya di Jalan Pokok Mangga 61, Taman Pokok Mangga bernilai RM323,736.

Beliau juga berdepan 11 pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM85,000 melalui bayaran kad kredit antara Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017.



Kedua-dua suapan itu sebagai upah bagi membantu sebuah syarikat dilantik sebagai kontraktor bagi projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serba guna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Lot 341 dan Lot 345, Mukim Bachang, bernilai RM5.28 juta.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samad menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

Bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork memohon jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 tidak bercagar memandangkan tertuduh tidak lagi bekerja dan hanya mengharapkan pencen RM2,018 sebulan, selain terpaksa menanggung dua isteri serta lapan anak.



Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan permohonan Azrul dengan mengenakan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Mei untuk sebutan semula kes.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button