Berbasikal 22 jam untuk mengadu kepada nenek
Beijing: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun sanggup berbasikal seharian untuk mengadu kepada neneknya bahawa dia dan ibunya bergaduh.
Kanak-kanak lelaki itu ditemukan dalam keadaan letih dan bersendirian dalam terowong lebuh raya pengguna yang melalui jalan itu, pada petang 2 April lalu, lapor media tempatan Meilizhejiang.
Pegawai polis yang datang untuk mengambil kanak-kanak itu terkejut apabila mendapati dia berbasikal selama 22 jam sejauh hampir 130 kilometer (km) selepas meninggalkan rumahnya di Hangzhou, wilayah Zhejiang, timur China.
Kanak-kanak lelaki itu cuba berbasikal ke rumah neneknya di Meijiang, sebuah daerah di Zhejiang kira-kira 140 km jauhnya, supaya dia dapat mengadu selepas dia bergaduh dengan ibunya.
Kanak-kanak itu dilaporkan beberapa kali tersilap jalan kerana hanya berpandukan papan tanda jalan saja.
Dia memberitahu polis, dia juga berbasikal sepanjang malam, sambil makan roti dan air yang dibawanya dari rumah.
Polis terpaksa membawanya dengan kereta ke balai kerana dia terlalu letih untuk berjalan.
Kedua-dua ibu bapa dan neneknya datang menjemputnya pada petang itu.
Ibu kanak-kanak lelaki itu berkata, anaknya mengugut ke rumah neneknya, tetapi dia menganggapnya hanya gurauan semata-mata.
Kisah kanak-kanak itu bagaimanapun membuat netizen terhibur dan mereka ingin mengetahui pengakhiran keluarga itu.
Agensi