Jam Rolex tak dapat, setengah juta lesap
Sibu: Gara-gara mahu bergaya dengan jam tangan jenama Rolex, seorang suri rumah di sini mengalami kerugian sebanyak RM526,400 selepas diperdaya oleh suspek yang menjual jam tangan mewah menerusi aplikasi WeChat.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang berusia 60-an mengenali suspek menerusi WeChat sejak awal Februari lalu.
Menurutnya, selepas itu mangsa berurusan dengan suspek kerana tertarik dengan jam tangan Rolex yang ditawarkan pada harga murah.
“Sepanjang tempoh berurusan, suspek menawarkan empat utas jam tangan dengan harga kesemuanya berjumlah RM526,400.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu membuat pembayaran melalui sembilan transaksi pemindahan wang ke satu akaun bank tempatan antara 15 hingga 27 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, sehingga laporan polis dibuat baru-baru ini, mangsa belum menerima jam tangan yang dibelinya.
“Suspek pula gagal dihubungi dan selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya
Zulkipli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, orang ramai harus membuat semakan terlebih dulu sebelum membuat sebarang pembelian dalam talian terutamanya apabila harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga asal.
“Orang ramai boleh merujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau melayari laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP@JSJKPDRM bagi mendapatkan khidmat nasihat serta maklumat lanjut berhubung sesuatu perkara yang mencurigakan.
“Selain itu, orang ramai juga boleh merujuk laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui,” katanya.
METRO