Tak hormat Ramadan

Banda Aceh: Pihak berkuasa Banda Aceh menyerbu sebuah kedai makan di Batoh, Kecamatan Lueng Bata, kerana menjual nasi pada siang hari ketika Ramadan.

Ketua Polis Daerah Banda Aceh, M Rizal berkata, serbuan dilakukan susulan arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan melarang jual beli makanan dan minuman sebelum 4 petang waktu tempatan.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan mengenai aktiviti jual beli makanan di siang hari di premis berkenaan.



Berikutan itu, risikan dan pemeriksaan dijalankan sebelum serbuan pada 12.15 tengah hari, pada Ahad.

Sementara itu, Komandan pihak berkuasa agama Banda Aceh, Vadhly berkata, pihaknya mendapati memang berlaku aktiviti jual beli makanan secara terang-terangan di siang hari di restoran itu.

Ketika serbuan, nasi berserta ayam goreng diletakkan di hadapan kedai untuk dijual.

Kata Vadhly, jika ada pelanggan yang datang, sudah pasti boleh melihat makanan yang dijual itu.



Menurutnya, nasi dan ayam goreng termasuk peralatan memasak dirampas dan dibawa ke pejabat sebagai bukti bagi siasatan lanjut.

Vadhly berkata, pemilik restoran turut dipanggil untuk diambil keterangan dan peralatan berkenaan akan dipulangkan semula selepas pemilik berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

Tambahnya, pihaknya menjalankan pemantauan berterusan sepanjang Ramadan bagi memastikan pengusaha makanan mematuhi peraturan ditetapkan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button