2 beradik sempat diselamatkan bomba selepas pengsan ketika rumah terbakar
Pasir Gudang: Dua beradik yang pengsan ketika rumah dihuni di Jalan Tembikai 17, Taman Kota Masai di sini, terbakar awal pagi semalam, berjaya diselamatkan anggota bomba yang tiba tepat pada masanya.
Kebakaran membabitkan tiga rumah teres di lokasi berkenaan.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad berkata, dua beradik itu membabitkan Azian Zainalabidin, 20, serta Murni Atikah, 25, dan ketika kejadian, mereka sedang tidur di tingkat rumah.
“Kami menerima panggilan kebakaran jam 3.37 pagi. Seramai 21 anggota BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya dikerah ke lokasi.
“Pasukan keluaran operasi (PKO) yang tiba di lokasi dimaklumkan berkaitan keadaan dua beradik berkenaan.
“Kami terus masuk ke rumah dan semasa diselamatkan, kedua-dua beradik berkenaan pengsan. Kami memberikan bantuan awal kecemasan dan mereka kemudiannya berada dalam keadaan separa sedar,” katanya dihubungi.
Menurut beliau, kedua-duanya terus dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.
Sarhan Akmal berkata, tujuh sekeluarga mendiami rumah terbabit ketika kejadian.
Katanya, pihaknya dimaklumkan, kesemua mangsa sudah keluar sebelum menyedari dua beradik berkenaan masih berada di dalam rumah.
“Berdasarkan maklumat jiran, ia berpunca daripada garaj rumah berkenaan. Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
“Turut terbakar ialah Toyota Yaris, Toyota Avanza, Proton Saga serta tiga motosikal,” katanya.
METRO