Tidur kurang 5 jam berisiko dapat strok
Tidur berkualiti pada zaman ini diakui memang agak sukar berikutan banyak kekangan dalam kehidupan terpaksa dilalui seseorang.
Ini kerana cabaran harian menjadikan ramai yang terpaksa mengorbankan masa tidur semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup.
Sedar tak sedar, tidur yang tidak berkualiti boleh berisiko strok.
Menurut kajian diterbitkan Neurology, iaitu jurnal perubatan American Academy of Neurology, individu mengalami masalah tidur diakui berisiko tinggi mendapat strok.
Masalah tidur ini termasuk tidur terlalu banyak atau sedikit, tidur sebentar, tidur tidak berkualiti, berdengkur, mendengus dan apnea tidur, iaitu gangguan tidur serius di mana pernafasan berulang kali terganggu ketika tidur.
Individu yang mempunyai lima atau lebih gejala ini dikhuatiri lebih tinggi berdepan risiko strok.
Penyelidik dari Universiti Galway di Ireland, Christine Mc Carthy, berkata bukan saja sesiapa mempunyai masalah tidur boleh mendapat risiko strok, tetapi jika ada lebih daripada lima gejala ini, boleh menyebabkan lima kali ganda risiko strok berbanding yang tiada masalah tidur.
“Justeru, masalah tidur tidak berkualiti ini harus ditangani untuk mencegah strok,” katanya.
Dalam kajian itu, membabitkan seramai 4,496 respondan dengan purata umur 62 tahun, iaitu 2,243 orang yang mengalami strok dan 2,253 orang tidak mengalami strok.
Dalam kajian itu, peserta ditanya tentang tingkah laku tidur termasuk berapa jam tidur, kualiti tidur, tidur siang, berdengkur, mendengus dan masalah pernafasan semasa tidur.
Hasil kajian mendapati, orang yang tidur terlalu banyak atau terlalu sedikit berkemungkinan berisiko tinggi mendapat strok berbanding orang yang tidur melebihi waktu itu.
Kurang tidur 3 kali ganda berisiko dapat strok
Kajian juga mendapati, sebanyak 162 daripada mereka yang mengalami strok mendapat tidur kurang lima jam, berbanding 43 daripada mereka yang tidak mengalami strok.
Manakala 151 respondan mengalami strok mendapat lebih daripada sembilan jam tidur malam, berbanding 84 daripada mereka yang tidak mengalami strok.
Penyelidik mendapati, orang yang kurang daripada lima jam tidur adalah tiga kali lebih berkemungkinan mendapat strok berbanding mereka yang tidur tujuh jam secara purata.
Orang yang mendapat lebih sembilan jam tidur, lebih dua kali berkemungkinan mendapat strok berbanding mereka yang tidur tujuh jam semalam.
Individu yang tidur siang lebih lama daripada satu jam adalah 88 peratus lebih berkemungkinan mendapat strok berbanding mereka yang tidak.
Berdengkur 91 peratus dapat strok
Penyelidik juga melihat dari segi masalah pernafasan semasa tidur termasuk berdengkur, mendengus dan apnea tidur.
Hasil kajian mendapati orang yang berdengkur adalah 91 peratus lebih berkemungkinan menghidap strok berbanding mereka yang tidak dan orang yang berdengkur hampir tiga kali lebih berkemungkinan untuk diserang strok berbanding mereka yang tidak.
Individu yang mengalami apnea tidur hampir tiga kali lebih berkemungkinan mendapat strok berbanding mereka yang tidak.
Berikutan pelarasan meluas untuk faktor lain boleh menjejaskan risiko strok adalah seperti merokok, aktiviti fizikal, kemurungan dan pengambilan alkohol di mana keputusannya adalah sama.
Mc Carthy berkata, berdasarkan keputusan ini, doktor boleh mengadakan perbualan awal dengan mereka yang mengalami masalah tidur.
“Intervensi untuk memperbaiki tidur juga boleh mengurangkan risiko strok dan harus menjadi subjek penyelidikan pada masa depan,” katanya.
AGENSI