Arsenal tolak tuah, sekadar terikat dengan West Ham
LONDON: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal gagal menyudahkan sepakan penalti dan mensia-siakan kelebihan dua gol ketika terikat 2-2 menentang West Ham pada aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Anak buah Mikel Arteta mendahului 2-0 menerusi jaringan Gabriel Jesus dan Martin Odegaard dalam tempoh 10 minit permainan di Stadium London sekali gus menyaksikan kemenangan bakal berpihak kepada mereka.
Namun seperti ketika diikat Liverpool 2-2 minggu lalu, The Gunners gagal mempertahankan kelebihan dua gol itu dan kehilangan dua mata penting dalam perebutan gelaran juara liga dengan Manchester City.
West Ham mengurangkan defisit menerusi sepakan penalti Said Benrahma pada minit ke-33 dan Arsenal terlepas peluang untuk menambah gol ketiga apabila sepakan penalti Bukayo Saka tersasar.
West Ham kemudian bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Jarrod Bowen pada minit ke-54 dan Arsenal kini hanya berkelebihan empat mata mengatasi Manchester City yang memiliki satu perlawanan dalam tangan.
AGENSI