Gemuruh Ramadan Wings

PERSEMBAHAN menarik yang diisi lagu dakwah dan ketuhanan serta membawa perjuangan yang indah. Ini ditambah nyanyian Datuk Awie berada pada tahap terbaik.

Itulah kesimpulan apabila menyaksikan program Semarakkan Malam Cinta Ramadan Wings yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbanding edisi sebelumnya, penganjuran kali ketujuh ini amat berbeza kerana lokasinya lebih besar sekali gus membolehkan ramai peminat setia Wings hadir berbuka puasa sambil menikmati persembahan mereka.

Seperti tahun sebelumnya, persembahan hanya dimulakan sebaik selesai solat Tarawih.

Anggota Wings iaitu Eddie (bass), Black (dram), Sham (gitar) dan Edrie (gitar) tampil bersedia di atas pentas dan selepas itu Awie muncul dengan lagu pertama, Anugerah.

Ia menerima tepukan bergemuruh peminat kerana ini kemunculan pertama Wings tahun ini selepas kali terakhir beraksi di Festival Folklore Antarabangsa 2022 (PJ Folklore 2022) Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 3 Disember lalu.

Awie memilih untuk terus mendendangkan lagu berikutnya Kepadamu Kekasih nyanyian asal Datuk M Nasir yang berjaya meruntun perasaan semua yang hadir.

“Terima kasih kepada semua yang hadir menyokong program ini. Dan saya ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terbabit secara langsung dalam program ini terutama penganjur,” katanya.

Biarpun mengakui dirinya kurang sihat, Awie tetap menampilkan persembahan yang mantap pada malam itu.

Dalam persembahan istimewa ini Wings tampil mempersembahkan 15 lagu antaranya Anugerah, Kepadamu Kekasih, For The Rest of My Life, Tiada Rahsia Antara Kita, Sayap Illusi, Doa, Kembara Di Tanah Gersang, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Asmaul Husna, Allah Allah Aghisna dan Musafir Di Aidilfitri.

Menariknya, setiap nyanyian Awie turut sama diringi bersama dengan nyanyian peminat sekali gus memeriahkan lagi suasana.

Selain menyantuni peminat menerusi acara tahunan ini, Wings juga tidak lupa berkongsi rezeki menghulurkan sumbangan buat penggiat seni yang kurang bernasib baik.

Mereka ialah Dwan Olan, Ibnor Riza, Bad Indigo, Mel, pelakon Harun Hashim dan pengarah Murali Abdullah.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker