Tikam ibu 16 kali sehingga mati
London: Seorang wanita di United Kingdom (UK) bertindak kejam apabila membunuh ibu kandungnya sendiri hanya beberapa jam selepas keluar bersama dan bersembang dengan mangsa.
Daily Star melaporkan, Birute Klicneliene, 51, menikam ibunya, Dace Kalkerte, 50, 16 kali di rumah flat dekat King’s Lynn, Norfolk, pada 15 April tahun lalu.
Insiden itu agak mengejutkan kerana rakam kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua beranak itu berjalan berdua sebelum kejadian.
Mereka berjalan di sepanjang laluan taman dengan Dace membawa beg runcit di tangan, berbual secara mesra hanya beberapa jam sebelum dibunuh Klicneliene.
Kedua-duanya bertemu dengan satu sama lain pada awal hari kejadian ketika minum di tempat makan bersama suami masing-masing,
Klicneliene dan Dace kemudian meninggalkan suami mereka sebelum pembunuhan itu berlaku.
Metro UK melaporkan, polis dikejarkan ke kediaman Dace pada jam 12.30 tengah malam dan menemukan wanita itu dalam keadaan berlumuran darah.
Dace meninggal dunia di hospital Queen Elizabeth Lynn pada hari berikutnya.
Walaupun bedah siasat mendedahkan Dace mengalami 16 tikaman dan luka tusukan serta sembilan lagi luka, wanita itu sebenarnya meninggal dunia akibat satu tikaman di perutnya.
Klicneliene menafikan serangan itu, memberitahu polis bahawa dia tertidur dan Dace terbaring di atas lantai ketika dia bangun, lapor BBC.
Dia kemudian mendakwa seorang lelaki membunuh Dace, namun tiada bukti yang menunjukkan ada individu lain masuk ke dalam flat didiami mereka.
Berikutan kesalahan itu, Klicneliene dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 18 tahun.
Agensi