Penyampai Buletin FM suntik semangat pelajar sekolah

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar sarapan percuma, sebaliknya, barisan penyampai Buletin FM yang berkunjung ke beberapa sekolah di Lembah Klang turut menyuntik semangat murid mengejar impian melalui kempen Buletin Belanja Breakfast.

Antara penyampai yang menjayakan kempen itu adalah Haiza, Izwan Azir, Muaz, Marsila Hassan dan Hanif Miswan. Mendapat sambutan hangat, kempen itu membawa senyuman kepada pelajar dan guru.

Haiza berkata, kempen Buletin Belanja Breakfast memberi kesedaran kepada murid mengenai kepentingan sarapan sebelum memulakan sesi persekolahan.



“Sarapan yang berkhasiat penting untuk perkembangan minda dan tubuh badan mereka.

“Kita sedar ramai dalam kalangan pelajar tidak bersarapan setiap kali memulakan hari persekolahan. Oleh itu, kami datang kepada mereka untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan sarapan,” katanya kepada BH Online.

Haiza gembira kerana kebanyakan pelajar memberi maklum balas yang baik dan teruja dengan program yang julung kali dianjurkan itu.

Murid juga gembira dapat bertemu barisan penyampai Buletin FM yang juga tenaga kerja profesional daripada pelbagai latar belakang.



“Sebenarnya peluang pergi ke sekolah memang sangat menyeronokkan.

“Saya sudah lama meninggalkan alam persekolahan dan pastinya, kehadiran kali ini menggamit kenangan lalu.

“Paling teruja apabila dapat menghadiri perhimpunan sambil membaca rukun negara, menyanyikan lagu sekolah dan sebagainya. Semua perkara ini dah lama ditinggalkan, jadi, memanglah kami semua teruja,” kata Haiza yang turut mempromosikan Buletin FM sebagai stesen radio yang memberi fokus isu semasa dan info terkini.



Penyampai Buletin FM juga berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada pelajar untuk terus yakin berkomunikasi dalam menyuarakan pendapat.

Seperti yang diketahui ramai, tidak semua pelajar mahu tampil ke hadapan disebabkan pelbagai faktor seperti malu dan sebagainya.

Justeru, kehadiran penyampai Buletin FM itu sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan keyakinan pelajar agar lebih berani.

Selain itu, mereka turut mendedahkan pelajar mengenai kerjaya dalam bidang hiburan dan komunikasi serta bagaimana mahu mengejar cita-cita.



“Banyak perkara yang kami kongsi pada kempen Buletin Beri Breakfast, baru-baru ini. Kalau dilihat barisan penyampai Buletin FM merangkumi pelbagai latar belakang.

“Ada penyampai berita, pengulas sukan dan saya mewakili penyanyi. Sudah tentu banyak perkongsian yang diberikan untuk pelajar dan ibu bapa,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading